Feb 15, 2010

KEMULIAN AKHLAK: DI MANAKAH DIRIKU

Firman Allah:

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang yang bodoh”
Al-a’raff : 199
Apa yang dapat saya fahami dari ayat di atas adalah, berilah kemaafan kepada orang yang menzalimimu, berilah kemaafan kepada orang yang membencimu, sambungkanlah tali silaturrahim kepada orang yang memutuskan tali silaturrahim denganmu, berpalinglah daripada orang yang memperbodoh-bodohkanmu serta berbaik-baiklah kepada orang yang berbuat jahat kepadamu.

Kemulian akhlak adalah salah satu daripada agenda nabawiyyah yang cukup penting. Lantaran itu Rasulullah s.a.w dilahirkan penuh dengan kemuliaan-kemulian akhlak yang dipertontonkan dalam lembaran sirah. Baginda juga ada mengungkapkan bahawa:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak”

Kemuliaan akhlak yang merupakan sikap para penghuni syurga adalah perkataan yang lembut dan diikuti oleh perilaku yang yang terpuji, membalas kebaikan orang lain dengan balasan kebaikan yang lebih baik serta memperoleh kemulian dengan menjauhi segala hal yang diharamkan.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ada menukilkan dalam kitabnya Raudhotut-tholibin wa ‘Umdatus-salikin:

“Pemilik akhlak mulia, ialah orang yang tidak mengadukanmu jika engkau meminta kepadanya serta tidak berkira-kira, tidak bersifat kikir dan tidak bermegah-megah diri, saling melupakan kekurangan-kekurangan sesama saudara, bersegera dalam memenuhi keperluan-keperluan mereka, juga melemparkan keduniaan kepada orang yang memang memerlukannya.”

Aduh, mampukah saya kecapi nikmat berakhlak mulia ini. Seakan hampir tidak mampu saya cium baunya apatah lagi mahu digapai dan dipeluk erat.


“Sesungguhnya aku dambakan syurgaMU ya Allah, namun terlalu banyak kelompangan dalam diriku. Solatku masih kontang dengan kusyu’ dan khudu’, zikirku masih tak seberapa, qiamku entah kemana, nafsu keduniaanku masih beraja, masaku hilang begitu sahaja. Di manakah diriku di sisiMU ya ALLAH.”

No comments: