Jan 23, 2010

Malaysia oh Malaysia

Marah, sedih, geram, tidak puas hati, itulah perasaan yang bercampur baur dalam hati saya bila membaca bahawa kementerian pendidikan mahu mengurangkan peruntukan dari 27 bilion kepada 25 bilion. Baru-baru ini ada juga terdengar ura-ura bahawa biassiswa jabatan perkhidmatan awam(JPA) juga akan dikurangkan. Sesungguhnya saya sudah muak dengan sikap bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO ini. Mereka berlagak seolah-olah merekalah hero kepada negara dan rakyat dengan slogan mereka ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, akan tetapi hakikatnya merekalah orang-orang yang memacu Negara dengan laju kearah kehancuran dan kebinasaan.

Saya sedar, bahawa kerajaan berdepan masalah kewangan dalam mengurus negara, tetapi mengapa perlu peruntukan untuk rakyat yang perlu menjadi mangsa, sedangkan masalah ini berpunca dari kegagalan kerajaan dalam mengurus kewangan dengan baik dan ditambah pula dengan rasuah dan penyelewengan yang berakar umbi dalam pemerintahan. Dalam menghadapi krisis ekonomi ini pun, kerajaan masih lagi boleh menunujukkan sikap boros dan tidak cermat dengan membazirkan wang rakyat sebanyak 1 bilion untuk diperuntukkan kepada sukan formula 1 yang secara jelas dan nyata tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat secara keseluruhan.

Apa yang terzahir di sini adalah kerajaan Barisan Nasional mahu rakyat menanggung derita demi untuk menampung segala ketirisan, penyelewengan dan pembaziran yang kerajaan sendiri lakukan. Ini merupakan  satu perbuatan yang cukup dayus dan tidak bermoral bagi saya. Sudahlah baru-baru ini kerajaan sudah mengurangkan subsidi gula yang menyebabkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen dengan alasan ‘budak tadika’ yang cukup tidak munasabah. Walaupun jika dilihat seimbas lalu jumlah ini tidak sebesar mana, tapi ingat, ia sudah cukup membebankan bagi golongan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Selepas ini tidak tahulah apa lagi derita dan pengkhianatan yang mahu kerajaan Barisan Nasional mahu ‘hadiahkan’ kepada rakyat.

Sebelum-sebelum ini kita melihat siri-siri kejijkan dan kebobrokan yang kerajaan pamerkan dalam membelanjakan wang rakyat. Tidak kurang juga penyelewengan dan jenayah yang cukup menyesakkan dada terus disenyapkan umpama diamnya seorang yang bisu,pekak,buta dan lumpuh. Antaranya kes kehilangan enjin jet F-5E TUDM(RM 50, 000,000), skandal PKFZ (RM4,600,000,000.00), skandal OPV (NDSB) bot laju kementerian pertahanan (RM6,750,000,000.00), kes pita lingam, pembunuhan Atlantuya Sharibu yang penuh misteri dan banyak lagi.

Wahai rakyat Malaysia yang punya akal dan hati, sudah sampai masanya untuk kita tamatkan episod bersiri yang cukup panjang ini. Sudah banyak air mata yang menitis,sudah banyak darah yang tumpah, sudah banyak keringat yang keluar demi untuk menamatkan episod dan cerita yang bosan lagi pelik ini. Bahkan sudah ada yang kehilangan nyawa.

Ingatlah saudara-saudaraku episod ini tidak akan bisa di tamatkan andai kita masih lagi bersikap ragu-ragu, bacul dan pngecut. Selama ini slogan-slogan keadilan yang dilaung-laungkan golongan tertentu seringkali di pandang enteng oleh pihak pemerintah. Apa tidaknya, slogan mereka sendiripun turut mereka bakul sampahkan. ’Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ tidak lebih cuma retorik yang menjijikkan sahaja dek penangan kronisme,rasuah dan pelbagai lagi bentuk penyelewengan.


Ayuh, kali ini kita buktikan bahawa kita semua rakyat  Malaysia berdiri bersama-sama untuk menolak kezaliman dan penyelewengan. Andaikata dun Perak dibubarkan, insyaAllah di situ kita mulakan transformasi secara besar-besaran. Dan kita tidak akan berhenti di situ sahaja melainkan kita buktikan bahawa PRU 13 nanti bukan lagi tsunami politik yang melanda, bahkan ia merupakan hari kiamat bagi politik Barisan Nasional

No comments: