Aug 28, 2011
Manusia dan Ramadhan
Aug 20, 2011
Jenayah Aqidah : Seriuskah kita
Ops.. Fokus-fokus
Baru-baru ini bila disebutkan dan disensasikan oleh akhbar-akhbar tempatan tentang beberapa orang Islam yang mendapatkan bantuan daripada pihak gereja, maka gegak gempitalah suara-suara manusia dari pelbagai sumber memberikan reaksi marah dan tidak setuju dengan perkara tersebut. Pada ketika itu kelihatan seolah-olah mendapatkan bantuan daripada pihak gereja itu lebih besar dosanya daripada menafikan hak-hak Allah dalam mengatur sistem kehidupan manusia. Menafikan kemampuan Al-Quran dan sistem-sistem yang terdapat di dalamnya seolah-seolah menjadi dosa kecil bila dibandingkan dengan isu mendapatkan bantuan daripada pihak gerja ini.
Maka muncullah ultraman-ultraman, superman-superman dan banyak lagi superhero-superhero lain yang semuanya ingin berperanan sebagai pejuang aqidah yang suci. Tidaklah pelik andai yang muncul itu adalah superhero-superhero yang sememangnya sentiasa muncul sebelum ini, akan tetapi agak janggal kiranya apabila ada dikalangan watak-watak anatagonis yang turut cuba memakai kostum dan beraksi seperti superhero juga. Mudah-mudahan mereka benar-benar faham dan ikhlas dengan tindakan mereka itu.
Ops.. Termengarut lagi. Maafkan saya..hehe
Dalam soal yang melibatkan hubungan antara agama seperti ini molek kiranya ia disiasat dengan sebetulnya agar maklumat yang tepat dapat diperoleh. Maklumat dari akhbar-akhbar yang cuba mensensasikan isu ini dan menjadikannya sebagai peluru politik sama sekali amatlah meragukan. Kita dapat melihat bilamana ada akhbar tertentu yang cuba memaksa sesetengah pihak menyatakan pendirian, seolah-olah dengan keluarnya kenyataan ataupun pendirian tersebut maka selesailah masalah tersebut. Tidak saya nafikan bahawa pendirian dari sesetengah pihak itu penting, tetapi tidak perlulah dipaksa-paksa tanpa maklumat yang sahih. Apa yang lebih penting cari punca permasalahan, adakan dialog dan perbincangan dan cuba selesaikan permasalahan ini secara baik dan berhikmah supaya Islam itu dilihat agama yang damai dan indah dari sudut permuafakatannya. Andai benar ada pihak yang bersalah dalam isu ini, maka ambillah tindakan selepas diadili dengan sebaiknya.
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu...."
- Bertawakkal dan bergantung selain kepada Allah.
- Mengingkari nikmat kurniaan Allah
- Bekerja dan beramakerana l selain daripada Allah
- Mencipta undang-undang sendiri di luar kehendak dan ketentuan Allah SWT.
- Taat kepada selain daripada Allah kecuali kepada sesiapa yang telah diperintahkan oleh syara' supaya taat kepadanya (Imam)
- Menjalankan hukuman selain daripada hokum Allah.
- Benci dan menentang semua atau salah satu daripada ajaran Islam.
- Mencintai dunia mengatasi akhirat.
- Menghina al-Qur'an dan as-Sunnah serta Ulama' yang menegakkannya atau mempersendakan hokum Allah atau Syi'ar Islam.
- Menghalalkan yang haram oleh Allah dan sebaliknya.
- Tidak beriman dengan al-Qur'an dan as-Sunnah atau hukum yang bersumber dengannya.
- Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin tertinggi serta tidak menyintai orang mukmin.
- Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah SAW.
- Mengingkari sifat-sifat ketuhanan Allah dan nama-nama-Nya.
- Menafikan kerasulan Rasulullah SAW dan ajarannya serta menghina sifat-sifat mulia baginda. Malah tidak mengiktikad baginda sebagai role-model (Contoh ikutan).
- Mengkafirkan orang mukmin serta tidak mengkafirkan orang yang jelas kafirnya dan tidak menghalakan perang ke atas mereka.
- Melakukan upacara ibadah di luar dari batas Syara'
Mar 24, 2011
Allah Sangat Sayangkan Dirimu
Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi dari terjatuh dan kalau keduanya terjatuh tiada seorang pun yang akan bisa menahan selain Dia.(Faathir : 41)
Sep 8, 2010
Ramadhan : Pemergianmu Kami Tangisi.
Ramadhan bakal berlalu pergi. Sesungguhnya umat islam punya reaksi yang pelbagai terhadap pemergian ramadhan. Di antara kita ada yang gembira, ada yang bersedih, ada yang perasaannya bercampur aduk antara kesedihan dan kegembiraan.
Hakikatnya Allah s.w.t menganugerahkan Ramadhan sebagai medan untuk bermuhasabah, medan untuk tazkiyyatun nafs, medan untuk pengislahan dan pelbagai lagi kebaikan yang mungkin tidak tersingkap oleh manusia. Di dalamnya ada lailatul qadr, di dalamnya dijanjikan rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka, di dalamnya tersembunyi kasih sayang terhadap golongan yang kurang bernasib baik bahkan di dalamnya punya motivasi buat umat untuk mengejar kebaikan. Wah, terlalu banyak sekali kasih sayang Allah yang tidak mungkin mampu saya ungkapkan keseluruhannya. Andai kita menghayati Ramadhan dengan sepenuh penghayatan nescaya kita inginkan seluruh bulan menjadi Ramadhan.
Kita semua pasti menyedari bahawa Ramadhan adalah madrasah ataupun tamrin panjang yang bermatlamatkan untuk melahirkan golongan muttaqin yang sebenar-benarnya. Modul-modulnya banyak sekali. Puasa, tarawikh, qiamullail, zakat, sedekah, menahan nafsu, bersilaturrahim dan banyak lagi. Kita adalah pelajar-pelajar atau peserta-pesertanya. Akan tetapi saudara-saudaraku sekalian, adakah benar Ramadhan ini sudah menjadi madrasah atau tamrin yang bisa mendidik kita untuk menjadi mukmin yang muttaqin. Ya, modul-modulnya adalah modul yang terbaik yang pernah dihasilkan di atas muka bumi. Akan tetapi kunci kejayaan sesuatu modul adalah pesertanya benar-benar menghayati dan menjiwai modul tersebut dengan ikhlas. Adakah kita ikhlas menghayati dan menjiwai modul-modul Ramadhan.
“Andaikata kita tidak pernah menangis kerana takutkan Allah atau menyesali dosa-dosa lalu di bulan Ramadhan, andaikata kita tidak berusaha dengan sesungguh hati untuk solat jemaah setiap waktu, tidak berusaha untuk tidak meninggalkan solat rawatib, tidak berusaha mengkhatam al-quran sebanyak mungkin maka maaf, ramadhan bukan madrasah untuk anda”
Ini adalah kata-kata yang keluar dari mulut seorang ulama’ terkenal di tanah tumpah air saya. Apabila mendengar kata-kata ini, saya terduduk kaget, tertunduk kaku. Seolah Gunung Jerai yang menjadi salah satu mercu negeri jelapang padi ini terhempap di atas kepala saya. Solat jemaah saya masih lagi lompang, solat rawatib saya apatah lagi. Menangis? Al-quran? Adakah saya benar-benar ikhlas menerima Ramadhan sebagai madrasah yang Allah swt hadiahkan sebagai tanda cinta dan sayang-Nya kepada saya. Saya impikan lailatul qadr, akan tetapi tampaknya jalan saya tidak lurus ke arah itu. Saya impikan ketaqwaan yang dijanjikan oleh-Nya sebagai natijah ramadhan, akan tetapi bagaimana itu mungkin berlaku dengan kualitas diri sebegini. Anda bagaimana?
Saudara-saudaraku kita sama-sama bersedih dengan Ramadhan yang bakal meninggalkan kita. Akan tetapi hakikat kehidupan perlu kita akui, bahawa yang datang pastinya akan pergi. Untuk Ramadhan yang cuma tinggal seketika sahaja bakinya ini, marilah sama-sama kita mengkoreksi diri, mengislahkan apa yang mungkin kita terleka sebelum ini. Sama-sama kita doakan moga ini menjadi Ramdhan yang terbaik buat kita, sama-sama kita doakan moga-moga kita bersua lagi dengan Ramadhan yang akan datang, sama-sama kita doakan moga Ramadhan pergi dengan meninggalkan 1001 kebaikan buat diri kita. Masih belum terlambat saudara-saudaraku. Ya, Ramadhan tidak pergi buat selamanya. Dia pasti kembali. Namun, adakah saat itu kita masih mampu untuk menyambutnya sebagai salah satu anugerah daripada Ilahi.
Ya Allah, ampunilah kami.
Jun 30, 2010
Manusia oh Manusia
Namun manusia tidak dibiarkan oleh Allah terkontang-kanting dalam menghadapi musuh-musuh mereka itu. Manusia dibekalkan dengan petunjuk-petunjuk yang datang daripada Allah melalui wasilah para nabi. Selaku umat akhir zaman, kita sepatutnya berasa beruntung kerana memperoleh petunjuk yang lengkap dan tidak lapuk dek zaman iaitu al-quran. Di tambah pula dengan as-sunnah yang juga merupakan panduan kedua kita selepas al-quran.
Adalah suatu yang amat malang andaikata manusia cuba mengenepikan panduan-panduan agung itu dan cuma bertunjangkan akal semata-mata dalam menangani suatu-suatu masalah yang melanda. Mungkin sikap inilah yang menjadikan peradaban manusia kucar-kacir. Bilamana manusia mencari penyelesaian selain daripada Islam, maka mereka sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, bahkan merumitkan lagi keadaan.
Langkah memperkenalkan baby hatch untuk menyelesaikan permasalahan buang bayi di Malaysia bukanlah langkah pencegahan kepada permasalahan pokok kepada jenayah buang bayi tersebut. Kita tidak dapat menafikan bahawa jenayah buang bayi berlaku adalah disebabkan kes persetubuhan tanpa akad ataupun lebih dikenali sebagai zina. Sedih rasanya bilamana mendengar bahawa baby hatch telah mendapat bayi yang pertamanya semalam daripada sepasang kekasih yang masih belum berkahwin dan merahsiakan kelahiran bayi itu daripada keluarga mereka. Dapat dibyangkan selepas ini berbondong-bondong pasangan yang telah terlanjur melakukan zina datang membawa bayi mereka untuk diserahkan kepada baby hatch untuk dijaga. Mereka tidak lagi perlu risau andaikata mengandung selepas melakukan perbuatan terlarang itu. INI BUKAN PENCEGAHAN.
Zina tetap akan berleluasa. Ramai lagi bayi-bayi yang tidak dapat dinasabkan kepada ayahnya bakal lahir. Apabila bayi itu melangkah dewasa nanti, entah apa perasaannya bilamana mengetahui bahawa dia lahir dari persetubuhan terlarang. Banyak lagi permasalahan akan timbul. Dan saat ini musuh-musuh utama manusia itu akan terbahak-bahak ketawa dalam kemenangan.
Sebagai pengakhiran, marilah sama-sama kita bayangkan seorang pengembara melayu yang hidup pada zaman kesultanan melayu Melaka. Dia tinggal di utara Thailand. Bersusah payah dia meredah hutan belantara untuk menyampaikan segulung surat rahsia kepada istana Melaka. Surat tersebut mengandungi strategi untuk mengalahkan portugis yang pada waktu ini dalam diam-diam sedang merancang untuk menjahanamkan Melaka tanpa pengetahuan sesiapa pun. Hutan belantara diredahnya dengan sabar. Mendaki gunung, berhadapan dengan binatang buas, merasai kesejukan malam yang bias melumpuhkan tulang belulang dan pelbagai lagi halangan yang terpaksa ditempuhi. Bukan mudah, tersalah langkah, maut menantinya. Impiannya cuma satu. Menyedarkan kealpaan Melaka bahawa mereka bakal menghadapi ancaman portugis. Malangnya sampai sahaja di hadapan sultan melaka, suratnya itu tidak dilayan, malah di buang begitu sahaja. Tiada seorangpun rakyat mahupun golongan istana Melaka yang mahu membaca surat tersebut. Apa agaknya perasaannya ketika itu?
Saudara-saudaraku, perjuangan Rasulullah dalam membawa risalah Islam jauh lebih memeritkan daripada cabaran-cabaran yang dihadapi pengembara tadi. Jadi, adakah kita sanggup mengenepikan risalah Islam tersebut?
KEMBALILAH KEPADA ISLAM YANG SYUMUL
Jun 20, 2010
Seriuslah Untuk ISLAM
KITA BAGAIMANA???
May 31, 2010
Produk Tarbiah Darul Quran: Teruskan Komitmen Dalam Perjuangan
Berada di hadapan adik-adik yang terpisah 2 generasi dengan saya menyebabkan saya kembali mengimbau suasana-suasana silam. Mengenangkan saat-saat awal saya mengenal gerakan bersama adik beradik saya yang berjumlah 27 orang. Tidak mungkin saya lupakan sikap komited 17 orang adik beradik muslimat yang begitu bersungguh dalam melaksanakan setiap agenda. Tidak mungkin saya lupakan kerenah setiap adik beradik muslimin yang berjumlah 10 orang itu. Banyak pengalaman pahit dan manis kenangan bersama yang tidak mungkin saya lupakan.
Saya berasa begitu gembira dan beruntung bilamana melihat adik-adik generasi ke-10 ini tetap sanggup untuk meneruskan komitmen dalam program-program jamaie’ walaupun tempoh untuk mendaftar ke Pusat Asasi hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Di saat sahabat-sahabat lain sibuk membuat persedian untuk melangkah ke Pusat Asasi, mereka terpaksa mengorbankan masa, duit dan tenaga mereka demi kesinambungan tarbiah.
Untuk adik-adik dan seluruh generasi-generasi yang lahir dari madrasah tarbiah Darul Quran, saya tujukan risalah ini buat DIRI SAYA dan ANDA SEMUA.
1. Saya yakin kita semua sedar bahawa ISTIQOMAH ini merupakan perkara yang berat. Saya yakin anda semua menghafal surah Hud. Surah inilah yang telah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w beruban kerana di dalamnya terkandung ayat tentang istiqomah. “Tidak ada yang lebih berat dan susah yang diturunkan kepada Rasulullah melainkan ayat ini”, inilah respon Ibnu Abbas terhadap ayat 112 surah Hud ini. Untuk istiqamah terhadap perkara kecilpun sudah dianggap susah, maka apatah lagi untuk istiqamah di atas jalan dakwah. Walaupun istiqamah ini hanya boleh dinilai setelah ruh berpisah dari jasad, namun ia menuntut persedian dari kita selaku mereka yang pernah bergelar abna ul-harakah di bumi Darul Quran untuk sama-sama berusaha sedaya mungkin untuk terus kekal di atas jalan-NYA. [1]Maksiat dan dosa tidak kira besar atau kecil, perlu kita jauhkan. [2]Sirah perlu kita hayati, [3]al-Quran perlu kita tadabbur serta [4]golongan soleh perlu kita dampingi untuk menjamin bahawa kita akan sentiasa terus memberi komitmen yang jitu terhadap perjuangan Islam.
2. Banyak perkara yang mampu merosakkan istiqamah dan membolak-balikkan hati kita dalam perjuangan ini. Antaranya adalah [1]niat yang tidak ikhlas semata-mata kerana Allah, [2]sikap bongkak dan takabbur serta memandang rendah orang lain, [3]leka dan complacent serta [4]sikap malas dan suka bertangguh. Inilah virus-virus yang perlu kita elakkan.
3. Walau di mana sahaja kita berada kita pasti akan berdepan dengan situasi gerakan yang penuh dengan kelemahan. Jadi apa yang perlu kita lakukan? Gerakan merupakan kenderaan untuk menuju kepada matlamat kita yang suci dan agung. Mungkin kadang-kadang ia bermasalah, namun ia tetap merupakan kenderaan kita yang terbaik. Maka komitmen kita amat di perlukan untuk memastikan kenderaan ini tetap melaju. Tutuplah mana-mana kelompangan yang wujud agar kenderaan ini tidak terbabas atau rebah di tengah jalan. Kita perlu memiliki jiwa besar untuk memastikan gerakan terus bergerak maju. Biarlah kita yang menjadi solusi kepaada setiap permasalahan yang berlaku.
Sebagai penutup sama-sama kita hayati kata-kata keramat pakar tarbiah dari bumi Indonesia ini.
Seonggok kemanusiaan terkapar,Siapa yang mengaku bertanggungjawab?Bila semua pihak menghindar,Biarlah saya yang menanggungnya,Semua atau sebagiannya....
May 26, 2010
Jangan Sekat Jiwa Muda
“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap (kesejateraan)nya. Oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar”an-nisa’ : 9
Golongan Agamawan : Gunakan Amanah untuk Kebaikan
Di sini saya tidak berminat untuk mengulas banyak tentang kenyataan menteri-menteri yang jelas sudah dibutakan mata mereka dengan kebendaan itu. Saya doakan mereka diberi hidayah oleh Allah s.w.t untuk meruntuhkan keegoaan mereka yang membukit itu dan mengakui kekhilafan sekaligus menarik semula lesen yang telah di berikan.
Apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah sikap membisu umpama ular sawa kekenyangan golongan-golongan agamawan yang berada dalam jabatan-jabatan kerajaan dan mufti-mufti terhadap isu ini. Sedarlah bahawa salah satu soalan yang akan disoal di hadapan Allah nanti adalah tentang bagaimana kita memanfaatkan ilmu yang dimiliki. Ini bukan isu politik semata-mata, tetapi isu maruah Islam. Bagaimana mungkin negara yang saban tahun menjadi kunjungan para ulama, menjadi tempat dilaksanakan seminar-seminar islami, tempat yang majoritinya umat Islam sanggup menggadaikan maruah demi keuntungan yang tidak seberapa.
Tentangan terhadap judi bola ini bukan sahaja datang daripada orang-orang Islam sahaja, bahkan juga daripada orang bukan Islam. Di kedah Pemuda Gerakakan sudah menyatakan kesediaan untuk sama-sama memberi komitmen dalam membantah isu ini.Kalau sesetengah pendokong-pendokong umno pun berani menyatakan secara terbuka rasa tidak setuju mereka terhadap isu ini, mengapa tidak mufti-mufti dan jabatan-jabatan agama islam menyatakan hal yang sama secara lebih lantang dengan menggunakan kapasiti dan posisi masing-masing. Tun Abdullah sudah bersuara, mufti-mufti bila lagi?
Benarlah kata Mustafa Mahsyur tentang penyelewengan-penyelewengan yang berlaku dalam jalan dakwah. Bilamana jalan dakwah itu hanya difokus kepada aspek-aspek juz’i maka akan berlakulah sikap play safe dan takut untuk mengatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.
Dalam PERJUANGAN adanya JIHAD, dalam JIHAD adanya PENGORBANAN
Mar 9, 2010
Diari Kehidupan : Wah Hebatnya Usrah
Malam ini saya mengalami sakit perut yang agak kuat dan sudah semestinya banyak perancangan saya tergendala. Nak dikatatakan saya saya tersalah makan semasa berprogram di Kuang, orang lain pun makan makanan yang sama. Tak ada pula yang mengadu sakit perut. Saya pun tak pasti apa puncanya. Mungkin tersalah makan atau terover sikit masa main bola petang tadi.
Tepat jam 11.15 malam saya mendapat sms dari naqib saya yang mengatakan usrah pada pukul 11.30 ditunda ke pukul 11.45. Secara jujurnya saya memang sudah terlupa akan usrah pada malam ini. Maafkan anak usrahmu ini wahai naqibku yang amat komited, andai anda turut membaca posting ini. Kesibukan di siang hari menyebabkan saya terlupa memasukkan usrah dalam jadual saya pada hari ini.
Sakit perut ditambah dengan perasaan malas yang membuak-buak menyebabkan saya telah membuat keputusan untuk ponteng usrah malam ini. Pantas sahaja saya membalas sms naqib saya tersebut untuk menguzurkan diri. Sakit perut dijadikan alasan. Walaupun pada awalnya naqib saya sedikit kurang percaya (mungkin kerana acap kali saya ponteng usrah agaknya...tapi rasanya baru sekali, sebab tertidur..Hehe, maaf sekali lagi buat naqibku), akhirnya beliau terpaksa akur dengan kesungguhan saya.
Sedang saya berbaring melayan kerenah perut saya yang semakin menjadi-jadi, tiba-tiba terlintas di fikiran saya kisah-kisah para sahabat yang uzur lagi tua. Mereka ini diberikan keizinan oleh Rasulullah untuk tidak turut serta ke medan jihad, namun keuzuran mereka tidak pernah menjadi alasan untuk berlepas diri dari memburu syahid. Teringat saya kisah Habib bin Dhamrah al-Laithi, seorang sahabat yang sangat tua lagi uzur, akan tetapi tetap mahu berhijrah ke Madinah biarpun beliau sebenarnya dikecualikan dari berhijrah dengan turunnya ayat 98-99 surah an-Nisa’. Akhirnya jiwanya yang tenang itu kembali menemui Allah di Tanaiem sebelum sempat sampai ke Madinah.
Saya semakin tidak keruan bila mengenang kisah Amru bin al-Jamuh seorang sahabat yang tua lagi tempang. Beliau meluru ke medan Uhud selepas mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya yang tercinta seolah-olah dia tidak akan kembali lagi. Beliau menghadap ke arah kiblat sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya dengan berdoa, “Ya Allah! Kurniakan kepadaku syahid, jangan engkau kembalikan aku kepada keluargaku dengan sia-sia”. Ketika perang sedang berkecamuk beliau menjerit dengan suara yang lantang, “Aku rindukan syurga, aku rindukan syurga…”. Akhirnya Allah mengurniakan kematian yang paling mulia itu kepadanya.
Kisah-kisah para sahabat yang pernah saya baca seperti kembali diputarkan di hadapan saya. Kisah Abu Ayyub al-Ansari, seorang sahabat yang berusia hampir 80 tahun turut memenuhi ruang fikiran saya. Kata-kata beliau yang mahsyur sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke Constantinople seolah-olah terngiang-ngiang dalam gegendang saya. “Sampaikan salam kepada semua tentera Islam yang menyertai peperangan ini dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub mewasiatkan kamu supaya terus mara ke bumi musuh sejauh-jauhnya, dan bawalah mayatku bersama-sama, dan tanam aku di sisi tembok Constantinople ..”. Biarpun jiwa hampir meninggalkan jasad, namun Abu Ayyub al-Ansari sempat mangagumkan dunia dengan semangat jihadnya yang tidak mengenal usia. Terbayang-bayang juga wajah Syeikh Ahmad Yassin yang berkerusi roda itu sedang berulang-alik ke masjid-masjid sekitar Palestin demi intifadhah.
Saya kembali tersedar dari lamunan. Jam menunjukkan pukul 11.55 malam. Saya sedar, apalah sangat sakit perut saya andai hendak dibandingkan dengan keuzuran pejuang-pejuang islam terdahulu. Lantas saya bingkas bangun. Saya tekad, walau terpaksa berjalan terbongkok-bongkok saya tetap akan menghadiri usrah. Akhirnya saya sempat untuk turut serta dalam usrah walaupun pada awalnya naqib saya seperti pelik melihat saya, seperti baru lepas melihat kura-kura memandu kereta sahaja lagaknya. Apa yang menariknya adalah bila saya bersama sahabat-sahabat lain berusrah, sakit perut saya seolah hilang begitu sahaja. Walaupun usrah mengambil masa hampir 2 jam, namun saya tidak sedikitpun merasa derita menanti, bahkan masa seakan terlalu singkat rasnya. Ajaib sungguh. Syukur saya panjatkan kepada Ilahi. Mungkin itulah hebatnya usrah, kerana di situ tersembunyi pelbagai hikmah.
Isnin : 8 Mac 2010 : 2.15 Pagi
Feb 28, 2010
UMNO Terus Ketinggalan
Maaf kerana lari sedikit dari tajuk. Apa yang hendak saya fokuskan dalam posting kali ini adalah krisis ketandusan idea dalam Umno dan kepimpinannya bagi menguasai suasana politik di Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh bahawa salah satu faktor pendesak kepada lahirnya idea meminda perlembagaan Umno bagi menerima individu, parti politik atau NGO yang menyokong parti itu menjadi ahlinya secara terus adalah apabila PAS dengan langkah berani dan bertenaganya membawa perubahan dalam parti dengan menaiktarafkan Kelab Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Umno yang sebelum ini hanya mampu mencari publisiti murahan di kalangan rakyat dengan memperkudakan media dan menjadikannya sebagai salah satu lidah rasmi parti pastinya berasa terdesak apabila melihat keahlian Dewan Himpunan Penyokong Pas ini mencecah puluhan ribu. Ketika mana Umno masih lagi terkial-kial hendak membincangkan isu keahlian terbuka ini, Dewan Himpunan Penyokong Pas sudahpun mula mengorak langkah membentuk jawatankuasanya dengan dimulakan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak (DHPPP) pada 15 Febuari yang lalu. Idea yang baru hendak dibincangkan oleh Pemuda Umno dalam mesyuarat exconya pada minggu hadapan ini sebenarnya telahpun didahului PAS melalui draft penaiktarafan Kelab Penyokong Pas dalam retreat meeting PAS Pusat pada Jun 2009 di Alor Setar.
Sebenarnya sudah banyak siri-siri peniruan idea yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional terhadap apa yang dilaksanakan oleh PAS. Antaranya Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak melancarkan laman sosialnya di facebook bilamana melihat laman sosial Tuan Guru Haji Hadi mendapat sambutan yang cukup hangat daripada pengunjung facebook. Jika sudara-saudara ingat suatu ketika dahulu kerajaan pernah mengadakan Sukan Wanita kali Kedua. Yang peliknya saya sendiri tidak tahu bila masalah Sukan Wanita kali Pertama dilaksanakan. Dinamakan Sukan Wanita kali Kedua untuk menggambarkan kononnya merekalah yang mempelopori idea sukan wanita ini, sedangkan sukan wanita kali pertama tidak pernah dianjurkan. Semua ini dibuat selepas nisa’ game yang dianjurkan PAS mendapat sambutan meriah. Banyak lagi peniruan idea PAS oleh Umno dan Barisan Nasional yang tidak mampu untuk saya coretkan. Saudara fikirlah sendiri...
Feb 20, 2010
Alahai Khutbah Jumaat Masjid UIAM
Khutbah pada hari ini menyentuh tentang umat islam yang semakin lemah dan terkebelakang lantaran mereka tidak mampu bersatu (disunity). Menariknya bila si khatib mengungkapkan bahawa
"One of the internal factor of disunity in Malaysia is all muslim still arguing each other on the smallest issue like politics and how should the country be"
Justeru, menentukan persoalan kepimpinan yang bakal membawa halatuju negara ini bukanlah perkara main-main, andaikata kita mengambil ibrah dari sirah nabawiyyah dan kisah para sahabat. Ia perlu difikirkan dan diberi penekanan secara serius kerana ia berkaitan dengan survival ummah.
Saya juga agak kurang bersetuju bilamana si khatib menyatakan bahawa soal perbezaan pendapat dalam politik merupakan punca perpecahan dan kelemahan umat Islam di negara ini. Soalnya, adakah kita perlu menjadi pak turut dan bersetuju sahaja dengan dasar-dasar yang jelas mengetepikan dan merendahkan martabat Islam. Kembalilah kepada realiti, bahawa Islam menjadi lemah dalam negara ini adalah disebabkan dasar nasionalisme, hedonisme dan sekularisme dalam negara yang jelas mengambil Islam hanya dalam aspek-aspek kecil sahaja. Usahlah mengemukakan hujah yang seolah-olah meletakkkan golongan penentang dasar ini di kandang salah dan pelaku jenayah perpecahan, sedangkan dasar itu sendiri pincang dan lari dari landasan kebenaran. Yakinlah yang doktrinisasi ini tidak akan kemana.
Ingatlah bahawa perbezaan pendapat itu bukanlah perpecahan. Masakan kita mampu melahirkan suatu masyarakat yang punya keselarian pandangan dan pemikiran. Soal perbezaan pendapat ini merupakan lumrah dan rahmat kepada kita semua. Pengajaran kisah Luqman al-Hakim bersama anaknya sebagai bukti bahawa manusia ini punya variasi yang tersendiri. Yang penting umat Islam hanya akan kembali bersatu bila kita semua sanggup meniggalkan isme-isme jahiliyyah dan kembali kepada kesyumulan Islam dan kemurniaan aqidah yang sahih.
Feb 16, 2010
MAHASISWA UIAM: MULAKAN PERUBAHAN
“Jika kamu ingin melihat masa depan sesuatu bangsa maka lihatlah pemuda-pemudanya"
Kata-kata ini cukup menggambarkan kepada kita betapa peri pentingnya mahasiswa yang kebanyakannya merupakan pemuda dan pemudi yang dianggap sebagai golongan minda kelas pertama ini dapat menjadi mahasiswa yang selayaknya dengan title mereka itu. Hal ini bukan sahaja demi memastikan masa depan bangsa dan negara kita kembali berada di paksi kecemerlangan tetapi juga demi mengembalikan kei’zzahan Islam itu sendiri.
Justeru, selaku mahsiswa UIAM, saya punya impian untuk melihat gerakan mahasiswa di kampus UIAM memainkan peranan sebagai agen perubah dan pembentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja mampu mengulangi zaman kegemilangan mahasiswa lebih dua dekad lalu, bahkan mampu menjadi pelopor generasi emas mahasiswa yang bakal dikenang sepanjang zaman.
Atas dasar ini, gerakan mahasiswa UIAM perlu keluar dari kepompong tradisi, membuat perubahan yang luar biasa supaya mereka tidak berterusan berada di takuk lama. Gerakan mahasiswa yang kini dilihat lesu, perlu membuang segala aspek-aspek negatif yang sudah sekian lama membarah dan melekat kuat dalam diri mereka. Aspek-aspek profesionalisme perlu dititik beratkan agar gerakan ini tidak terus dilihat kekampungan atau gerakan budak-budak. Jangan risau atau ragu untuk melontarkan kritikan biarpun ia pahit untuk diluah mahupun ditelan. Usah takut untuk membuat perubahan dan membawa gagasan-gagasan besar, biarpun terpaksa mengambil risiko melawan arus.
“Kalau takut dilanda ombak, usah berumah di tepi pantai. Kalau takut kepada risiko usah bicara soal perjuangan.”
Kita terpaksa akui bahawa sejak akhir-akhir ini kualiti yang ada pada pendokong gerakan cukup mengecewakan. Justeru, soal pembinaan kualiti ahli gerakan mahasiswa haruslah menjadi antara agenda utama yang perlu ditekankan sama ada dari sudut teori mahupun praktikal. Pendokong-pendokong gerakan mahasiswa, di UIAM khususnya dan di seluruh Malaysia amnya perlu mempersiapkan diri dari segala sudut. Semangat kita perlu kental, ilmu dan intelektual kita perlu tinggi, jiwa kita perlu tabah, jasmani kita perlu kuat dan ikatan antara kita perlu utuh. Hal ini kerana, kita bukan lagi pemimpin pelajar di bangku persekolahan tetapi kita merupakan generasi pewaris teraju kepimpinan negara.
Sudah sekian lama gerakan mahasiswa berperanan di tengah-tengah masyarakat. Malah sudah sekian ramai juga pimpinan serta pengikutnya yang datang dan pergi dengan cita-cita masing-masing. Maka sudah tiba masanya untuk gerakan mahasiswa di Malaysia yang menjadi wadah kepada anak muda bergerak di universiti, membuat satu anjakan paradigma untuk membawa satu gelombang perubahan supaya kehadirannya akan lebih dirasai, bukan sahaja dirasai oleh masyarakat universiti tetapi juga oleh rakyat Malaysia. Kita impikan gerakan mahasiswa yang bukan sahaja mampu mengubah suasana universiti, tetapi mampu mencorak masa depan negara. Kalau inilah cita-citanya, maka reformasi gerakan mahasiswa di UIAM adalah langkah pertama.
Feb 15, 2010
KEMULIAN AKHLAK: DI MANAKAH DIRIKU
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang yang bodoh”
Al-a’raff : 199
Kemulian akhlak adalah salah satu daripada agenda nabawiyyah yang cukup penting. Lantaran itu Rasulullah s.a.w dilahirkan penuh dengan kemuliaan-kemulian akhlak yang dipertontonkan dalam lembaran sirah. Baginda juga ada mengungkapkan bahawa:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak”
Kemuliaan akhlak yang merupakan sikap para penghuni syurga adalah perkataan yang lembut dan diikuti oleh perilaku yang yang terpuji, membalas kebaikan orang lain dengan balasan kebaikan yang lebih baik serta memperoleh kemulian dengan menjauhi segala hal yang diharamkan.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ada menukilkan dalam kitabnya Raudhotut-tholibin wa ‘Umdatus-salikin:
“Pemilik akhlak mulia, ialah orang yang tidak mengadukanmu jika engkau meminta kepadanya serta tidak berkira-kira, tidak bersifat kikir dan tidak bermegah-megah diri, saling melupakan kekurangan-kekurangan sesama saudara, bersegera dalam memenuhi keperluan-keperluan mereka, juga melemparkan keduniaan kepada orang yang memang memerlukannya.”
Aduh, mampukah saya kecapi nikmat berakhlak mulia ini. Seakan hampir tidak mampu saya cium baunya apatah lagi mahu digapai dan dipeluk erat.
“Sesungguhnya aku dambakan syurgaMU ya Allah, namun terlalu banyak kelompangan dalam diriku. Solatku masih kontang dengan kusyu’ dan khudu’, zikirku masih tak seberapa, qiamku entah kemana, nafsu keduniaanku masih beraja, masaku hilang begitu sahaja. Di manakah diriku di sisiMU ya ALLAH.”
Jan 26, 2010
Pemuda - Make a History or become a History
Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya
berikan aku pemuda terbaik dari bangsa ini, dan akan ku ubah dunia!
Dalam banyak sejarah dunia, kita telah menyaksikan manusia-manusia yang hebat banyak berbicara tentang pemuda. Pemuda dianggap mutiara paling berharga dalam sesebuah masyarakat. Mereka seolah-olah faktor utama dalam jatuh dan bangunnya suatu tamadun. Siapakah sebebnarnya pemuda ini,apa yang mereeka miliki dan apa yang mampu mereka lakukan?
Pemuda merupakan mereka-mereka yg melaui masa dimana secara fizikalnya ia berada pada kondisi yang sangat prima, kuat dan segar dengan semangat yang menyala nyala,sehingga dapat berjuang secara optimum.
Pepatah arab ada manyebut
Bukanlah seorang pemuda itu yang mengatakan ini bapaku..tetapi seorang pemuda adalah mereka yang mengatakan inilah aku
Ini cukup memberikan gambaran kepada kita bahawa pemuda itu adalah manusia yang luar biasa yang berdiri di atas kaki sendiri. Mereka punya idelisme yang menggunung. Mereka tidak rela berada dalam keadaan static, hambar dan tidak mencabar. Mereka gemar kepada persaingan dan perubahan serta tidak suka di kongkong. Semangat yang ada pada mereka umpama Krakatau yang suatu ketika dahulu pernah menggegarkan dunia dengan letusannya yang maha hebat. Bilamana mereka bersuara, ia umpama halilintar yang menggegarkan bumi. Gelombang kepemudaan yang mereka bawa umpama tsunami yang menggila, sehingakan sering menjadi igauan ngeri, terutamanya kepada mereka-mereka yang sering bertindak mengatasi norma-norma keadilan.
Dalam lembaran sirah, kita juga telah di hidangkan dengan kisah pemuda-pemuda yang berperanan sebagai ejen perubah. Antaranya kisah pemuda yang bernama Ibrahim a.s yang bertindak menghapuskan berhala-berhala sembahan masyarakat di zamannya. Biar pun ayahnya sendiri seorang pembuat berhala dan dia sendiri hidup dalam masyarakat yang menyembah taghut, namun untuk mengambil risiko melawan arus dan mencipta perubahan bukanlah suatu masalah bagi nabi Allah ini.
Pemuda kahfi juga antara pemuda yang membuktikan keteguhan terhadap idealisme dan pegangan mereka. Bila mereka berdiri, biarpun di hadapan raja yang zalim lagi sesat, mereka tidak kekok mengatakan tuhan kami adalah tuhan kepada langit dan bumi. Musa’b bin ‘Umair, duta Islam pertama yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w ke Yathrib juga membuktikan bahawa pemuda itu bukan sahaja punya semangat yang tinggi tetapi juga mmpunyai kecerdasan yang dahsyat dalam mengemukakan hujah
Ramai lagi pemuda-pemuda yang pernah melakar sejarah dunia. Mereka bukan sahaja sanggup bersusah payah mencetus agenda perubahan dan mempelopori perjuangan, bahkan sanggup mengorbankan jiwa dan raga mereka untuk kebaikan masyarakat keseluruhan. Adakah anda juga seorang pemuda? Jika ya.... make a history, or you will only be a history.
Jan 23, 2010
PRK UIAM. Kenapa Begini?
“Tak rasa macam pilihan raya pun”, komen salah seorang daripada sahabat saya. Memang benar katanya. Saya terpaksa mengakui bahawa bahang PRK kurang dirasai, malahan hampir tidak dirasai. “PRK? Apa tu?”, “PRK? Bila?”. Dialog-dialog begini masih lagi wujud di kalangan mahasiswa, membuktikan bahawa apa yang sahabat saya utarakan itu adalah tepat. Suasana kempen di UIAM sungguh sepi. Kalau ada pun cuma banner-banner calon yang ‘umpama malukut di tepi gantang’ sahaja. Ada, tapi seolah-olah tiada. Mujurlah ada juga group-group kempen tertentu yang turut bergerak di kuliyyah-kuliyyah. Kalau tidak, saya rasa student UIA tidak akan sedar bahawa tarikh PRK sudah berlalu.
Bukanlah saya mengharapkan berlakunya konfrantasi yang melampau di Taman Budi dan Ilmu ini, tetapi bagi saya, calon-calon yang bertanding walau dari kumpulan mana sekalipun, mereka membawa agenda dan idealisme masing-masing. Seharusnya masing-masing berjuang habis-habisan untuk memastikan mahasiswa UIAM faham dan jelas dengan apa yang ingin dibawa dan seterusnya menobatkan mereka sebagai wakil kepimpinan mahasiswa.
Akan tetapi, melalui pemerhatian saya penggerak-penggerak Pro-Aspirasi seolah-olah seperti siput keletihan, manakala Pro-Mahasiwa pula kelihatan terlalu selesa, terperangkap dalam dunia complaisant mereka, tidak ubah seperti kura-kura dalam cengkerang. Mungkin kerana acap kali menang dalam PRK adalah puncanya (Ini cuma pandangan melalui pemerhatian saya. Boleh jadi salah dan boleh jadi benar)
Dalam masa yang sama saya juga tidak menafikan bahawa dari kedua-dua kumpulan ini ada juga yang bertungkus lumus mempromosikan produk masing-masing. Namun mereka hanyalah golongan minoriti. Bila siput bertemu kura-kura, maka terjadilah seperti apa yang terjadi.
Walaupun saya meletakkan sokongan saya kepada kumpulan Pro-mahasiwa, akan tetapi jauh di sudut hati saya, saya mahu melihat Pro-Mahasiswa tewas pada tahun ini sebenarnya. Biarlah mereka ditarbiah dengan kekalahan dan kegagalan agar selepas ini mereka bangun, mengaum seperti singa di rimba. Seperti bangunnya ramai tokoh-tokoh terkemuka, hasil dari tarbiyah kegagalan dan keperitan.
Malaysia oh Malaysia
Saya sedar, bahawa kerajaan berdepan masalah kewangan dalam mengurus negara, tetapi mengapa perlu peruntukan untuk rakyat yang perlu menjadi mangsa, sedangkan masalah ini berpunca dari kegagalan kerajaan dalam mengurus kewangan dengan baik dan ditambah pula dengan rasuah dan penyelewengan yang berakar umbi dalam pemerintahan. Dalam menghadapi krisis ekonomi ini pun, kerajaan masih lagi boleh menunujukkan sikap boros dan tidak cermat dengan membazirkan wang rakyat sebanyak 1 bilion untuk diperuntukkan kepada sukan formula 1 yang secara jelas dan nyata tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat secara keseluruhan.
Apa yang terzahir di sini adalah kerajaan Barisan Nasional mahu rakyat menanggung derita demi untuk menampung segala ketirisan, penyelewengan dan pembaziran yang kerajaan sendiri lakukan. Ini merupakan satu perbuatan yang cukup dayus dan tidak bermoral bagi saya. Sudahlah baru-baru ini kerajaan sudah mengurangkan subsidi gula yang menyebabkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen dengan alasan ‘budak tadika’ yang cukup tidak munasabah. Walaupun jika dilihat seimbas lalu jumlah ini tidak sebesar mana, tapi ingat, ia sudah cukup membebankan bagi golongan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Selepas ini tidak tahulah apa lagi derita dan pengkhianatan yang mahu kerajaan Barisan Nasional mahu ‘hadiahkan’ kepada rakyat.
Sebelum-sebelum ini kita melihat siri-siri kejijkan dan kebobrokan yang kerajaan pamerkan dalam membelanjakan wang rakyat. Tidak kurang juga penyelewengan dan jenayah yang cukup menyesakkan dada terus disenyapkan umpama diamnya seorang yang bisu,pekak,buta dan lumpuh. Antaranya kes kehilangan enjin jet F-5E TUDM(RM 50, 000,000), skandal PKFZ (RM4,600,000,000.00), skandal OPV (NDSB) bot laju kementerian pertahanan (RM6,750,000,000.00), kes pita lingam, pembunuhan Atlantuya Sharibu yang penuh misteri dan banyak lagi.
Wahai rakyat Malaysia yang punya akal dan hati, sudah sampai masanya untuk kita tamatkan episod bersiri yang cukup panjang ini. Sudah banyak air mata yang menitis,sudah banyak darah yang tumpah, sudah banyak keringat yang keluar demi untuk menamatkan episod dan cerita yang bosan lagi pelik ini. Bahkan sudah ada yang kehilangan nyawa.
Ingatlah saudara-saudaraku episod ini tidak akan bisa di tamatkan andai kita masih lagi bersikap ragu-ragu, bacul dan pngecut. Selama ini slogan-slogan keadilan yang dilaung-laungkan golongan tertentu seringkali di pandang enteng oleh pihak pemerintah. Apa tidaknya, slogan mereka sendiripun turut mereka bakul sampahkan. ’Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ tidak lebih cuma retorik yang menjijikkan sahaja dek penangan kronisme,rasuah dan pelbagai lagi bentuk penyelewengan.
Ayuh, kali ini kita buktikan bahawa kita semua rakyat Malaysia berdiri bersama-sama untuk menolak kezaliman dan penyelewengan. Andaikata dun Perak dibubarkan, insyaAllah di situ kita mulakan transformasi secara besar-besaran. Dan kita tidak akan berhenti di situ sahaja melainkan kita buktikan bahawa PRU 13 nanti bukan lagi tsunami politik yang melanda, bahkan ia merupakan hari kiamat bagi politik Barisan Nasional
Jan 27, 2009
GENERASI TARBAWI
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menurunkan Al-Quran sebagai khabar gembira dan peringatan kepada umat manusia. Selawat dan salam buat junjungan besar penutup segala nabi, insan mulia yang merintihnya kerana Islam, berjalannya kerana Islam, berperangnya kerana Islam, berdarahnya kerana Islam serta hidup dan matinya kerana Islam dan umat keseluruhan.
Dunia pada hari ini mempertontonkan betapa umat Islam semakin jauh dan terasing daripada Islam umpama terasingnya air dengan minyak,ibarat tidak bersatunya malam dan siang ataupun ibarat campuran cyclohexene dengan air yang akan menghasilkan dua lapisan yang berbeza di akhirnya. Lihat sahaja apa reaksi umat Islam terhadab isu palestin. Respon kita umpama lampu picit, yang hanya berfungsi bila ada bateri dan hilang cahanya bila sudah lama digunakan. Lebih menyedihkan, ada juga yang sudah ‘dibaterikan’ tetapi rupa-rupanya mentolnya pula rosak lantas menyebabkan ia tidak mampu bersinar. (Ish agak-agak orang faham ke tak apa yang aku merepek ni…?? Ahh..persetan itu semua.)
Seorang pendakwah pernah menukilkan bahawasanya Islam dan umatnya akan kembali bersatu dan gemilang dengan dua cara. Dengan berpindahnya iman ke dalam hati orang-orang yang memerintah ataupun dengan berpindahnya pemerintahan ke tangan orang-orang yang beriman. Akan tetapi realiti dan sejarah telah memaparkan kepada kita bahawa jiwa pemerintah sukar di ubah. Lihat sahaja kisah firaun,namrud dan najasyi. Lihat sahaja respon atau reaksi balas terhadap surat Rasulullah yang dikirimkan kepada pemerintah di sekeliling Jazirah Arab.
Oleh yang demikian, yang tinggal hanyalah cara yang kedua iaitu pemerintahan haruslah bertukar tangan kepada orang-orang yang beriman iaitu GENERASI TARBAWI yang percaya,yakin dan faham bahawa Islam adalah aqidah, ibadah, asas perpaduan dan sistem kehidupan yang sempurna. Siapakah generasi tarbawi ini..??
Mereka adalah orang-orang yang [1]mempunyai keimanan yang mendalam terhadap terhadap risalah Islam, keagungan matlamatnya, kesejahteraan jalannya serta janji kemenangannya. Mereka ini [2]hebat fikirnya serta mantap zikirnya kepada Allah, sanggup berkorban, tidak mementingkan diri, sabar, berani, pemurah, ikhlas, serta tidak gentar dan takut dengan risiko,ancaman dan celaan. Siangnya ibarat harimau kelaparan memburu mangsa dan malamnya umpama kekasih yang merindui pasangannya.
Generasi tarbawi sentiasa [3]sedar akan hakikat diri dan realiti. Faham akan peranan dan tanggungjawab sebagai abna al-harakah serta sedar akan hakikat nilai sebuah perjuangan yang sentiasa menagih darah dan keringat, letih dan kesusahan serta tekanan dan kesem
pitan. [4]Hubungan antara mereka yang didasari aqidah yang satu sentiasa utuh umpama kukuh dan tegaknya Masjid Baiturrahman ketika dilanda tsunami acheh. Mereka adalah generasi warisan ansar dan muhajirin yang sentiasa bersama saat senang mahupun susah.
Dalam jalan dakwah mereka terkenal sebagai [5]engineer dan arkitek yang ghairah dan gigih dalam membina manusia seperti gigih dan kreatifnya nabi Nuh a.s selama 950 tahun menyebarkan risalah suci walaupun ditolak dan ditentang. Daripada mereka, lahirlah penyokong dan pendokong agama Allah yang tidak rela melihat Islam terus menerus berada di bawah. Fikir mereka adalah [6]fikir seorang pemimpin. Bahkan jiwa mereka sentiasa bergelora dengan semangat jihad dan kepimpinan. Mereka sedia dikerah, tetapi tidak sentiasa perlu dikerah. Mampu bergerak tanpa perlu sentiasa disuntik.
Inilah generasi tarbawi yang akan bersama-sama dengan kemenangan Islam. Mereka mulia dengan kemuliaan Islam. Mereka berdiri, duduk, jatuh dan bangun bersama Islam. Siapa pula kita…???












