Jun 30, 2010

Manusia oh Manusia

Penciptaan adam suatu ketika dahulu merupakan titik mula sejarah peradaban manusia. Pada mulanya penciptaan makhluk Allah yang dianugerahkan akal dan nafsu itu dipersoalkan oleh malaikat yang sudah dapat menggambarkan apa yang bakal terjadi andai manusia beraja di muka bumi. Akan tetapi rencana Allah merupakan hikmah yang tidak mungkin dapat disingkap oleh siapa-siapa jua. Bermula dengan penderhakaan di langit akhirnya mencetuskan peperangan di bumi. Bertebaranlah anak-anak adam di muka bumi berhadapan dengan segunung dendam daripada makhluk-makhluk penderhaka yang telah menjadi musuh yang nyata kepada golongan manusia sejak penciptaan adam lagi.

Namun manusia tidak dibiarkan oleh Allah terkontang-kanting dalam menghadapi musuh-musuh mereka itu. Manusia dibekalkan dengan petunjuk-petunjuk yang datang daripada Allah melalui wasilah para nabi. Selaku umat akhir zaman, kita sepatutnya berasa beruntung kerana memperoleh petunjuk yang lengkap dan tidak lapuk dek zaman iaitu al-quran. Di tambah pula dengan as-sunnah yang juga merupakan panduan kedua kita selepas al-quran.

Adalah suatu yang amat malang andaikata manusia cuba mengenepikan panduan-panduan agung itu dan cuma bertunjangkan akal semata-mata dalam menangani suatu-suatu masalah yang melanda. Mungkin sikap inilah yang menjadikan peradaban manusia kucar-kacir. Bilamana manusia mencari penyelesaian selain daripada Islam, maka mereka sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, bahkan merumitkan lagi keadaan.

Langkah memperkenalkan baby hatch untuk menyelesaikan permasalahan buang bayi di Malaysia bukanlah langkah pencegahan kepada permasalahan pokok kepada jenayah buang bayi tersebut. Kita tidak dapat menafikan bahawa jenayah buang bayi berlaku adalah disebabkan kes persetubuhan tanpa akad ataupun lebih dikenali sebagai zina. Sedih rasanya bilamana mendengar bahawa baby hatch telah mendapat bayi yang pertamanya semalam daripada sepasang kekasih yang masih belum berkahwin dan merahsiakan kelahiran bayi itu daripada keluarga mereka. Dapat dibyangkan selepas ini berbondong-bondong pasangan yang telah terlanjur melakukan zina datang membawa bayi mereka untuk diserahkan kepada baby hatch untuk dijaga. Mereka tidak lagi perlu risau andaikata mengandung selepas melakukan perbuatan terlarang itu. INI BUKAN PENCEGAHAN.

Zina tetap akan berleluasa. Ramai lagi bayi-bayi yang tidak dapat dinasabkan kepada ayahnya bakal lahir. Apabila bayi itu melangkah dewasa nanti, entah apa perasaannya bilamana mengetahui bahawa dia lahir dari persetubuhan terlarang. Banyak lagi permasalahan akan timbul. Dan saat ini musuh-musuh utama manusia itu akan terbahak-bahak ketawa dalam kemenangan.

Sebagai pengakhiran, marilah sama-sama kita bayangkan seorang pengembara melayu yang hidup pada zaman kesultanan melayu Melaka. Dia tinggal di utara Thailand. Bersusah payah dia meredah hutan belantara untuk menyampaikan segulung surat rahsia kepada istana Melaka. Surat tersebut mengandungi strategi untuk mengalahkan portugis yang pada waktu ini dalam diam-diam sedang merancang untuk menjahanamkan Melaka tanpa pengetahuan sesiapa pun. Hutan belantara diredahnya dengan sabar. Mendaki gunung, berhadapan dengan binatang buas, merasai kesejukan malam yang bias melumpuhkan tulang belulang dan pelbagai lagi halangan yang terpaksa ditempuhi. Bukan mudah, tersalah langkah, maut menantinya. Impiannya cuma satu. Menyedarkan kealpaan Melaka bahawa mereka bakal menghadapi ancaman portugis. Malangnya sampai sahaja di hadapan sultan melaka, suratnya itu tidak dilayan, malah di buang begitu sahaja. Tiada seorangpun rakyat mahupun golongan istana Melaka yang mahu membaca surat tersebut. Apa agaknya perasaannya ketika itu?

Saudara-saudaraku, perjuangan Rasulullah dalam membawa risalah Islam jauh lebih memeritkan daripada cabaran-cabaran yang dihadapi pengembara tadi. Jadi, adakah kita sanggup mengenepikan risalah Islam tersebut?

KEMBALILAH KEPADA ISLAM YANG SYUMUL

Jun 20, 2010

Seriuslah Untuk ISLAM

Semasa saya membelek-belek catatan-catatan lama alam persekolahan saya, saya bertemu kembali dengan sekeping nota lusuh yang saya simpan bertahun lamanya. Di sini saya kepingin untuk berkongsi tentang catatan tersebut yang pernah menjadi motivasi buat diri saya dan sahabat pada zaman persekolahan kami.

“Apakah Tuhan berbincang dengan ibu bapaku sewaktu mengutus aku lahir ke dunia?” Detik hati Saidina Ali dalam perjalanan pulang untuk menemui ibu dan bapanya. Sebelumnya beliau telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w dan ketika itu baginda mengajaknya untuk memeluk agama Islam. Kerana umurnya baru sepuluh tahun, Saidina Ali meminta izin Rasulullah s.a.w untuk pulang dulu berbincang dengan kedua ibu bapanya. Tetapi di pertengahan jalan, dia berfikir dan terus berfikir. Seriusnya bukan main.

Akhirnya dia tiba pada satu kesimpulan, beriman tanpa keizinan ibu dan bapanya. Alasannya mudah, Allah menjadikanya tanpa perlu berunding dengan kedua ibu bapanya. Jadi, apa perlunya berunding dengan ibu bapa untuk beriman dengan Allah.

Usamah bin Zaid dilantik menjadi pemimpin angkatan perang sewaktu berumur 18 tahun. Sultan Muhammad al-Fateh naik menggantikan ayahnya, Sultan Murad sewaktu berumur 14 tahun dan membuka Konstantin beberapa tahun berikutnya sekaligus membenarkan sabda nabi yang pernah di ungkap ratusan tahun sebelumnya. Ramai lagi para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah pun dibariskan ke medan perang dan diberi amanah yang cukup berat ketika berumur belasan tahun. Hingga sejarah memaparkan, ada antara mereka cuba menjungkitkan kaki mereka agar kelihatan tinggi, dewasa dan layak dipilih untuk berperang.

Inilah remaja salafussoleh, remaja yang sedari mudanya memikul tugas-tugas yang besar dan serius. Walaupun masih muda, tetapi fikiran mereka sudah ‘tua’ dan tindakan mereka sudah matang. Islamlah yang mendewasakan mereka. Islam adalah agama yang serius, untuk diyakini, dihayati, diamalkan dan untuk diperjuangkan.

KITA BAGAIMANA???

Adakah kita seorang yang serius untuk Islam? Apakah kita seorang yang inginkan kegemilangan masa depan Islam dan berusaha kearahnya? Adakah kita memikirkan nasib kita di akhirat kelak? Adakah kita sentiasa memikirkan nasib Islam dan umatnya? Adakah kita memikirkan soal Negara umat Islam dan kepimpinan dunia yang lintang pukang pada hari ini? Adakah kita seorang yang serius dalam melaksanakan amal Islami yang terkenal dengan keseriusannya? Jika YA, kita adalah pewaris generasi salafussoleh yang bakal menempa sejarah. Jika TIDAK... Ya, bicara ini bukan untuk kita. Maaf.