Sep 8, 2010

Ramadhan : Pemergianmu Kami Tangisi.

Salam Lailatul qadr

Ramadhan bakal berlalu pergi. Sesungguhnya umat islam punya reaksi yang pelbagai terhadap pemergian ramadhan. Di antara kita ada yang gembira, ada yang bersedih, ada yang perasaannya bercampur aduk antara kesedihan dan kegembiraan.

Hakikatnya Allah s.w.t menganugerahkan Ramadhan sebagai medan untuk bermuhasabah, medan untuk tazkiyyatun nafs, medan untuk pengislahan dan pelbagai lagi kebaikan yang mungkin tidak tersingkap oleh manusia. Di dalamnya ada lailatul qadr, di dalamnya dijanjikan rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka, di dalamnya tersembunyi kasih sayang terhadap golongan yang kurang bernasib baik bahkan di dalamnya punya motivasi buat umat untuk mengejar kebaikan. Wah, terlalu banyak sekali kasih sayang Allah yang tidak mungkin mampu saya ungkapkan keseluruhannya. Andai kita menghayati Ramadhan dengan sepenuh penghayatan nescaya kita inginkan seluruh bulan menjadi Ramadhan.

Kita semua pasti menyedari bahawa Ramadhan adalah madrasah ataupun tamrin panjang yang bermatlamatkan untuk melahirkan golongan muttaqin yang sebenar-benarnya. Modul-modulnya banyak sekali. Puasa, tarawikh, qiamullail, zakat, sedekah, menahan nafsu, bersilaturrahim dan banyak lagi. Kita adalah pelajar-pelajar atau peserta-pesertanya. Akan tetapi saudara-saudaraku sekalian, adakah benar Ramadhan ini sudah menjadi madrasah atau tamrin yang bisa mendidik kita untuk menjadi mukmin yang muttaqin. Ya, modul-modulnya adalah modul yang terbaik yang pernah dihasilkan di atas muka bumi. Akan tetapi kunci kejayaan sesuatu modul adalah pesertanya benar-benar menghayati dan menjiwai modul tersebut dengan ikhlas. Adakah kita ikhlas menghayati dan menjiwai modul-modul Ramadhan.

“Andaikata kita tidak pernah menangis kerana takutkan Allah atau menyesali dosa-dosa lalu di bulan Ramadhan, andaikata kita tidak berusaha dengan sesungguh hati untuk solat jemaah setiap waktu, tidak berusaha untuk tidak meninggalkan solat rawatib, tidak berusaha mengkhatam al-quran sebanyak mungkin maka maaf, ramadhan bukan madrasah untuk anda”

Ini adalah kata-kata yang keluar dari mulut seorang ulama’ terkenal di tanah tumpah air saya. Apabila mendengar kata-kata ini, saya terduduk kaget, tertunduk kaku. Seolah Gunung Jerai yang menjadi salah satu mercu negeri jelapang padi ini terhempap di atas kepala saya. Solat jemaah saya masih lagi lompang, solat rawatib saya apatah lagi. Menangis? Al-quran? Adakah saya benar-benar ikhlas menerima Ramadhan sebagai madrasah yang Allah swt hadiahkan sebagai tanda cinta dan sayang-Nya kepada saya. Saya impikan lailatul qadr, akan tetapi tampaknya jalan saya tidak lurus ke arah itu. Saya impikan ketaqwaan yang dijanjikan oleh-Nya sebagai natijah ramadhan, akan tetapi bagaimana itu mungkin berlaku dengan kualitas diri sebegini. Anda bagaimana?

Saudara-saudaraku kita sama-sama bersedih dengan Ramadhan yang bakal meninggalkan kita. Akan tetapi hakikat kehidupan perlu kita akui, bahawa yang datang pastinya akan pergi. Untuk Ramadhan yang cuma tinggal seketika sahaja bakinya ini, marilah sama-sama kita mengkoreksi diri, mengislahkan apa yang mungkin kita terleka sebelum ini. Sama-sama kita doakan moga ini menjadi Ramdhan yang terbaik buat kita, sama-sama kita doakan moga-moga kita bersua lagi dengan Ramadhan yang akan datang, sama-sama kita doakan moga Ramadhan pergi dengan meninggalkan 1001 kebaikan buat diri kita. Masih belum terlambat saudara-saudaraku. Ya, Ramadhan tidak pergi buat selamanya. Dia pasti kembali. Namun, adakah saat itu kita masih mampu untuk menyambutnya sebagai salah satu anugerah daripada Ilahi.

Ya Allah, ampunilah kami.