Jun 20, 2010

Seriuslah Untuk ISLAM

Semasa saya membelek-belek catatan-catatan lama alam persekolahan saya, saya bertemu kembali dengan sekeping nota lusuh yang saya simpan bertahun lamanya. Di sini saya kepingin untuk berkongsi tentang catatan tersebut yang pernah menjadi motivasi buat diri saya dan sahabat pada zaman persekolahan kami.

“Apakah Tuhan berbincang dengan ibu bapaku sewaktu mengutus aku lahir ke dunia?” Detik hati Saidina Ali dalam perjalanan pulang untuk menemui ibu dan bapanya. Sebelumnya beliau telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w dan ketika itu baginda mengajaknya untuk memeluk agama Islam. Kerana umurnya baru sepuluh tahun, Saidina Ali meminta izin Rasulullah s.a.w untuk pulang dulu berbincang dengan kedua ibu bapanya. Tetapi di pertengahan jalan, dia berfikir dan terus berfikir. Seriusnya bukan main.

Akhirnya dia tiba pada satu kesimpulan, beriman tanpa keizinan ibu dan bapanya. Alasannya mudah, Allah menjadikanya tanpa perlu berunding dengan kedua ibu bapanya. Jadi, apa perlunya berunding dengan ibu bapa untuk beriman dengan Allah.

Usamah bin Zaid dilantik menjadi pemimpin angkatan perang sewaktu berumur 18 tahun. Sultan Muhammad al-Fateh naik menggantikan ayahnya, Sultan Murad sewaktu berumur 14 tahun dan membuka Konstantin beberapa tahun berikutnya sekaligus membenarkan sabda nabi yang pernah di ungkap ratusan tahun sebelumnya. Ramai lagi para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah pun dibariskan ke medan perang dan diberi amanah yang cukup berat ketika berumur belasan tahun. Hingga sejarah memaparkan, ada antara mereka cuba menjungkitkan kaki mereka agar kelihatan tinggi, dewasa dan layak dipilih untuk berperang.

Inilah remaja salafussoleh, remaja yang sedari mudanya memikul tugas-tugas yang besar dan serius. Walaupun masih muda, tetapi fikiran mereka sudah ‘tua’ dan tindakan mereka sudah matang. Islamlah yang mendewasakan mereka. Islam adalah agama yang serius, untuk diyakini, dihayati, diamalkan dan untuk diperjuangkan.

KITA BAGAIMANA???

Adakah kita seorang yang serius untuk Islam? Apakah kita seorang yang inginkan kegemilangan masa depan Islam dan berusaha kearahnya? Adakah kita memikirkan nasib kita di akhirat kelak? Adakah kita sentiasa memikirkan nasib Islam dan umatnya? Adakah kita memikirkan soal Negara umat Islam dan kepimpinan dunia yang lintang pukang pada hari ini? Adakah kita seorang yang serius dalam melaksanakan amal Islami yang terkenal dengan keseriusannya? Jika YA, kita adalah pewaris generasi salafussoleh yang bakal menempa sejarah. Jika TIDAK... Ya, bicara ini bukan untuk kita. Maaf.

No comments: