May 31, 2010

Produk Tarbiah Darul Quran: Teruskan Komitmen Dalam Perjuangan

Alhamdulillah 28 Mei yang lepas, saya sempat berprogram bersama-sama adik-adik yang lahir dari rahim tarbiah Darul Quran. Walaupun pada mulanya saya ingin menolak bilamana diminta oleh jawatankuasa program untuk menyampaikan pengisian kerana saya punya komitmen untuk program nuqaba’ di kampus saya pada sebelah petang. Lagi pula tajuk “Kewajipan Meneruskan Intima’ Dalam Gerakan” terasa cukup berat bagi saya. Tetapi memandangkan sudah lama saya tidak meng’attach’ kan diri dengan gerakan di Darul Quran ditambah dengan perasaan rindu saya kepada suasana tarbiah di Darul Quran, maka saya cuba juga memenuhi permintaan tersebut.

Berada di hadapan adik-adik yang terpisah 2 generasi dengan saya menyebabkan saya kembali mengimbau suasana-suasana silam. Mengenangkan saat-saat awal saya mengenal gerakan bersama adik beradik saya yang berjumlah 27 orang. Tidak mungkin saya lupakan sikap komited 17 orang adik beradik muslimat yang begitu bersungguh dalam melaksanakan setiap agenda. Tidak mungkin saya lupakan kerenah setiap adik beradik muslimin yang berjumlah 10 orang itu. Banyak pengalaman pahit dan manis kenangan bersama yang tidak mungkin saya lupakan.
Saya berasa begitu gembira dan beruntung bilamana melihat adik-adik generasi ke-10 ini tetap sanggup untuk meneruskan komitmen dalam program-program jamaie’ walaupun tempoh untuk mendaftar ke Pusat Asasi hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Di saat sahabat-sahabat lain sibuk membuat persedian untuk melangkah ke Pusat Asasi, mereka terpaksa mengorbankan masa, duit dan tenaga mereka demi kesinambungan tarbiah.

Untuk adik-adik dan seluruh generasi-generasi yang lahir dari madrasah tarbiah Darul Quran, saya tujukan risalah ini buat DIRI SAYA dan ANDA SEMUA.

1. Saya yakin kita semua sedar bahawa ISTIQOMAH ini merupakan perkara yang berat. Saya yakin anda semua menghafal surah Hud. Surah inilah yang telah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w beruban kerana di dalamnya terkandung ayat tentang istiqomah. “Tidak ada yang lebih berat dan susah yang diturunkan kepada Rasulullah melainkan ayat ini”, inilah respon Ibnu Abbas terhadap ayat 112 surah Hud ini. Untuk istiqamah terhadap perkara kecilpun sudah dianggap susah, maka apatah lagi untuk istiqamah di atas jalan dakwah. Walaupun istiqamah ini hanya boleh dinilai setelah ruh berpisah dari jasad, namun ia menuntut persedian dari kita selaku mereka yang pernah bergelar abna ul-harakah di bumi Darul Quran untuk sama-sama berusaha sedaya mungkin untuk terus kekal di atas jalan-NYA. [1]Maksiat dan dosa tidak kira besar atau kecil, perlu kita jauhkan. [2]Sirah perlu kita hayati, [3]al-Quran perlu kita tadabbur serta [4]golongan soleh perlu kita dampingi untuk menjamin bahawa kita akan sentiasa terus memberi komitmen yang jitu terhadap perjuangan Islam.

2. Banyak perkara yang mampu merosakkan istiqamah dan membolak-balikkan hati kita dalam perjuangan ini. Antaranya adalah [1]niat yang tidak ikhlas semata-mata kerana Allah, [2]sikap bongkak dan takabbur serta memandang rendah orang lain, [3]leka dan complacent serta [4]sikap malas dan suka bertangguh. Inilah virus-virus yang perlu kita elakkan.

3. Walau di mana sahaja kita berada kita pasti akan berdepan dengan situasi gerakan yang penuh dengan kelemahan. Jadi apa yang perlu kita lakukan? Gerakan merupakan kenderaan untuk menuju kepada matlamat kita yang suci dan agung. Mungkin kadang-kadang ia bermasalah, namun ia tetap merupakan kenderaan kita yang terbaik. Maka komitmen kita amat di perlukan untuk memastikan kenderaan ini tetap melaju. Tutuplah mana-mana kelompangan yang wujud agar kenderaan ini tidak terbabas atau rebah di tengah jalan. Kita perlu memiliki jiwa besar untuk memastikan gerakan terus bergerak maju. Biarlah kita yang menjadi solusi kepaada setiap permasalahan yang berlaku.

Sebagai penutup sama-sama kita hayati kata-kata keramat pakar tarbiah dari bumi Indonesia ini.
Seonggok kemanusiaan terkapar,
Siapa yang mengaku bertanggungjawab?
Bila semua pihak menghindar,
Biarlah saya yang menanggungnya,
Semua atau sebagiannya....
-Ustaz Rahmat Abdullah, PKS-

1 comment:

Anonymous said...

Muhasabah utk generasi al-quran...:-)
keep writing