Aug 28, 2011

Manusia dan Ramadhan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang padanya tempat bergantung segala kehidupan. Tuhan yang tidak ada permulaan mahupun pengakhiran. 

Hari ini sudah pun masuk 28 Ramadhan. Minit-minit akhir Ramadhan ini sememangnya amat mengharukan. Apa tidaknya, bulan barakah yang sentiasa dirindui oleh umat Islam akan kedatangannya ini bakal meninggalkan kita. Pemergiannya nanti pasti akan menerbitkan rindu yang berpanjangan. 

Sejauh mana prestasi kita dalam tamrin Ramadhan pada kali ini hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal baik yang kita lakukan dan mengampunkan segala dosa-dosa kita. Bimbang juga andai segala amalan yang kita lakukan saban waktu langsung tidak dinilai oleh Allah lantaran penyakit-penyakit hati yang mungkin wujud dan dosa-dosa yang kita lakukan. 

Sepanjang bulan Ramadhan ini saya bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran rumah saya. Kerjanya mudah, saya hanya perlu mengisi minyak ke dalam tangki setiap kenderaan yang datang bergantung kepada permintaan yang mereka kehendaki. Jadi saya telah berpeluang berinteraksi dengan ramai orang yang mempunyai pelbagai sikap, peringkat umur dan latar belakang. Ada yang peramah, pendiam, kelam kabut, sabar, suka senyum, monyok dan banyak lagi. 

Di sini saya ingin berkongsi tentang tiga jenis manusia yang menyambut Ramadhan yang sempat saya kenal pasti semasa menjadi pekerja di stesen minyak tersebut.

Golongan yang menjadi penyembah Ramadhan

Mereka ini, sebelum Ramadhan merupakan orang yang suka melakukan perkara-perkara maksiat, lagha dan bertentangan dengan Islam. Apabila Ramadhan datang mereka berhenti melakukan perkara tersebut dan kembali melakukannya semula apabila di luar Ramadhan. 

Dialog dengan kaki lepak dan karaoke

Saya      : Abang, malam ni nak pi mana plak?

A           : Oh.. malam ni tak pi mana-mana aih. Penat dok kacau buboq lambuk petang tadi.

Saya      : La.. ya ka? Ingat kot nak pi mengajaq (enjoy) malam ni.

A           : Haish.. dak aih. Bulan posa ni cuti sat sebulan.

Saya      : Aik.. ada cuti jugak? Kesian kat anak murid (Kawan-kawan seangkatan).

A          : Tak pa.. Bulan posa ni tuhan suruh buat ibadat banyak-banyak. Mengajaq lain kali buleh.. Ala bukan lama pun. Cuti sebulan ja..

Golongan yang tidak peduli dengan Ramadhan.

Mereka merupakan manusia yang sama di dalam dan di luar Ramadhan. Mereka tidak merasakan apa-apa dengan kehadiran Ramadhan. Kalau sebelum Ramadhan mereka adalah ahli maksiat maka dalam bulan Ramadhan juga mereka dalah orang yang sama. Mereka ini kadang-kadang tidak sedarpun yang mereka sebenarnya sudah memasuki bulan Ramadhan.

Dialog dengan penagih dadah

Saya    : Mat, hang nak bubuh berapa ringgit?

B         : Buh dua ringgit.. Mai petik api aladin satu.
(Pemetik api aladin adalah alat yang biasa digunakan oleh penagih dadah untuk membakar sudu yang telah diisi dengan dadah. Stesen minyak tersebut juga ada menjual pemetik api)

Saya   : Ish, petik api lagi..kemarin beli dah satu, hari ni beli lagi..rajin hang dok bakaq sampah(Hisap dadah) bulan-bulan posa ni. Tak penat ka?

B        : Nak buat macam mana, sampah banyak sangat.

Saya   : Hang posa berapa hari dah mat bulan posa taun ni.

B        : Taun ni 13 hari dah... 

Saya   : Oh..aku baru posa 9 hari. Tapi aku rasa aku tak pernah tinggai posa lagi.

B        : Ops.. Kantoi..hehe.. Aku start posa awai. Hang awat start posa lambat sangat?

Golongan yang menghayati dan memanfaatkan Ramadhan sebagai madrasah tarbiah daripada Allah

Merekalah golongan yang berjaya. Mereka memanfaatkan Ramadhan untuk membuat perubahan. Mereka menggunakan Ramadhan sebagai enzim, stimulasi dan motivasi ibadah. Sebelum Ramadhan mereka merupakan abid yang bersungguh, dalam Ramadhan mereka menjadi abid yang lebih bersungguh dan tekun dan selepas Ramadhan merekalah abid yang istiqamah.

Sangat kecewa dan rugilah bagi:
Orang yang disebut nama Muhammad, tidak dibaca selawat atasnya
Orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi tidak dapat masuk syura
Orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosanya.

Inilah doa yang pernah dibacakan oleh Jibril dan diaminkan oleh nabi. Mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan dan keampunan daripada Allah

Aug 20, 2011

Jenayah Aqidah : Seriuskah kita

Sudah sekian lama saya tidak menulis dan membiarkan blog ini bersawang dengan sawang-sawang yang tidak terkira banyaknya. Andai blog ini umpama rumah kayu, mungkin sudah lama ia menyembah bumi dimamah anai-anai dan kalau boleh diumpamakan blog ini sebagai projek perumahan mungkin ia sudah dimuatkan dalam kolum berita aduan rakyat sebagai sebuah projek terbengkalai yang menyusahkan rakyat. Saya pastinya akan terpaksa berhadapan dengan wartawan-wartawan untuk didapatkan maklumat lanjut. Mungkin juga saya bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pembeli.

Ops.. Fokus-fokus

Gejala riddah bukanlah suatu fenomena yang baru berlaku hari ini. Ia sudahpun berlaku 1400 tahun yang lalu. Ia berlaku secara besar-besarn pada zaman Saidina Abu Bakar sehinggakan khalifah islam yang pertama itu terkenal dengan jasanya memerangi golongan riddah. Selepas itu, ia terus berlaku dan berlaku hingga ke hari ini.

Baru-baru ini bila disebutkan dan disensasikan oleh akhbar-akhbar tempatan tentang beberapa orang Islam yang mendapatkan bantuan daripada pihak gereja, maka gegak gempitalah suara-suara manusia dari pelbagai sumber memberikan reaksi marah dan tidak setuju dengan perkara tersebut. Pada ketika itu kelihatan seolah-olah mendapatkan bantuan daripada pihak gereja itu lebih besar dosanya daripada menafikan hak-hak Allah dalam mengatur sistem kehidupan manusia. Menafikan kemampuan Al-Quran dan sistem-sistem yang terdapat di dalamnya seolah-seolah menjadi dosa kecil bila dibandingkan dengan isu mendapatkan bantuan daripada pihak gerja ini.

Maka muncullah ultraman-ultraman, superman-superman dan banyak lagi superhero-superhero lain yang semuanya ingin berperanan sebagai pejuang aqidah yang suci. Tidaklah pelik andai yang muncul itu adalah superhero-superhero yang sememangnya sentiasa muncul sebelum ini, akan tetapi agak janggal kiranya apabila ada dikalangan watak-watak anatagonis yang turut cuba memakai kostum dan beraksi seperti superhero juga. Mudah-mudahan mereka benar-benar faham dan ikhlas dengan tindakan mereka itu.

Ops.. Termengarut lagi. Maafkan saya..hehe

Dalam soal yang melibatkan hubungan antara agama seperti ini molek kiranya ia disiasat dengan sebetulnya agar maklumat yang tepat dapat diperoleh. Maklumat dari akhbar-akhbar yang cuba mensensasikan isu ini dan menjadikannya sebagai peluru politik sama sekali amatlah meragukan. Kita dapat melihat bilamana ada akhbar tertentu yang cuba memaksa sesetengah pihak menyatakan pendirian, seolah-olah dengan keluarnya kenyataan ataupun pendirian tersebut maka selesailah masalah tersebut. Tidak saya nafikan bahawa pendirian dari sesetengah pihak itu penting, tetapi tidak perlulah dipaksa-paksa tanpa maklumat yang sahih. Apa yang lebih penting cari punca permasalahan, adakan dialog dan perbincangan dan cuba selesaikan permasalahan ini secara baik dan berhikmah supaya Islam itu dilihat agama yang damai dan indah dari sudut permuafakatannya. Andai benar ada pihak yang bersalah dalam isu ini, maka ambillah tindakan selepas diadili dengan sebaiknya.

Firman Allah:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu...."

Bagi pihak yang begitu bersungguh-sunguh ingin memerangi jenayah aqidah syabas kita ucapkan. Akan tetapi jenyah aqidah bukan hanya berlaku dalam konteks pertukaran agama semata-mata. Begitu banyak perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini yang secara terang dan nyata boleh merosak dan menggugurkan syahadatain. Anatara perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah adalah:-

  • Bertawakkal dan bergantung selain kepada Allah.
  • Mengingkari nikmat kurniaan Allah
  • Bekerja dan beramakerana l selain daripada Allah
  • Mencipta undang-undang sendiri di luar kehendak dan ketentuan Allah SWT.
  • Taat kepada selain daripada Allah kecuali kepada sesiapa yang telah diperintahkan oleh syara' supaya taat kepadanya (Imam)
  • Menjalankan hukuman selain daripada hokum Allah.
  • Benci dan menentang semua atau salah satu daripada ajaran Islam.
  • Mencintai dunia mengatasi akhirat.
  • Menghina al-Qur'an dan as-Sunnah serta Ulama' yang menegakkannya atau mempersendakan hokum Allah atau Syi'ar Islam.
  • Menghalalkan yang haram oleh Allah dan sebaliknya.
  • Tidak beriman dengan al-Qur'an dan as-Sunnah atau hukum yang bersumber dengannya.
  • Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin tertinggi serta tidak menyintai orang mukmin.
  • Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah SAW.
  • Mengingkari sifat-sifat ketuhanan Allah dan nama-nama-Nya.
  • Menafikan kerasulan Rasulullah SAW dan ajarannya serta menghina sifat-sifat mulia baginda. Malah tidak mengiktikad baginda sebagai role-model (Contoh ikutan).
  • Mengkafirkan orang mukmin serta tidak mengkafirkan orang yang jelas kafirnya dan tidak menghalakan perang ke atas mereka.
  • Melakukan upacara ibadah di luar dari batas Syara'

Maka pada saat inilah diperlukan superhero-superhero tadi untuk memainkan peranan mereka, barulah benar-benar bersungguh untuk memerangi jenayah aqidah namanya. Jangan menjadi bacul dengan hanya memilih isu-isu tertentu yang tidak memudaratkan dan mengganggu periuk nasi kita sahaja. Kita perlukan lebih ramai jiwa-jiwa Khalifah Abu bakar untuk memastikan jenyah ini dapat dikawal dan diatasi.


Mar 24, 2011

Allah Sangat Sayangkan Dirimu

Seorang ulama ketika mentafsirkan surah Fathir ayat 41 telah menukilkan:

"Setiap seorang hamba berbuat dosa, bumi tempat ia berdiri meminta keizinan Tuhan untuk membenamkannya dan langit yang di atas kepalanya memohon izin untuk gugur menimpanya."

Tetapi Tuhan berfirman pada langit dan bumi itu,

"Tahanlah bahaya untuk hamba-Ku itu dan beri dia waktu. Mungkin dia bertaubat pada-Ku lalu Aku ampunkan dan mungkin saja dia menggantikan kerja buruknya dengan amalan yang baik lalu Aku gantikan dosanya dengan pahala."


Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi dari terjatuh dan kalau keduanya terjatuh tiada seorang pun yang akan bisa menahan selain Dia. 
(Faathir : 41)

Sep 8, 2010

Ramadhan : Pemergianmu Kami Tangisi.

Salam Lailatul qadr

Ramadhan bakal berlalu pergi. Sesungguhnya umat islam punya reaksi yang pelbagai terhadap pemergian ramadhan. Di antara kita ada yang gembira, ada yang bersedih, ada yang perasaannya bercampur aduk antara kesedihan dan kegembiraan.

Hakikatnya Allah s.w.t menganugerahkan Ramadhan sebagai medan untuk bermuhasabah, medan untuk tazkiyyatun nafs, medan untuk pengislahan dan pelbagai lagi kebaikan yang mungkin tidak tersingkap oleh manusia. Di dalamnya ada lailatul qadr, di dalamnya dijanjikan rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka, di dalamnya tersembunyi kasih sayang terhadap golongan yang kurang bernasib baik bahkan di dalamnya punya motivasi buat umat untuk mengejar kebaikan. Wah, terlalu banyak sekali kasih sayang Allah yang tidak mungkin mampu saya ungkapkan keseluruhannya. Andai kita menghayati Ramadhan dengan sepenuh penghayatan nescaya kita inginkan seluruh bulan menjadi Ramadhan.

Kita semua pasti menyedari bahawa Ramadhan adalah madrasah ataupun tamrin panjang yang bermatlamatkan untuk melahirkan golongan muttaqin yang sebenar-benarnya. Modul-modulnya banyak sekali. Puasa, tarawikh, qiamullail, zakat, sedekah, menahan nafsu, bersilaturrahim dan banyak lagi. Kita adalah pelajar-pelajar atau peserta-pesertanya. Akan tetapi saudara-saudaraku sekalian, adakah benar Ramadhan ini sudah menjadi madrasah atau tamrin yang bisa mendidik kita untuk menjadi mukmin yang muttaqin. Ya, modul-modulnya adalah modul yang terbaik yang pernah dihasilkan di atas muka bumi. Akan tetapi kunci kejayaan sesuatu modul adalah pesertanya benar-benar menghayati dan menjiwai modul tersebut dengan ikhlas. Adakah kita ikhlas menghayati dan menjiwai modul-modul Ramadhan.

“Andaikata kita tidak pernah menangis kerana takutkan Allah atau menyesali dosa-dosa lalu di bulan Ramadhan, andaikata kita tidak berusaha dengan sesungguh hati untuk solat jemaah setiap waktu, tidak berusaha untuk tidak meninggalkan solat rawatib, tidak berusaha mengkhatam al-quran sebanyak mungkin maka maaf, ramadhan bukan madrasah untuk anda”

Ini adalah kata-kata yang keluar dari mulut seorang ulama’ terkenal di tanah tumpah air saya. Apabila mendengar kata-kata ini, saya terduduk kaget, tertunduk kaku. Seolah Gunung Jerai yang menjadi salah satu mercu negeri jelapang padi ini terhempap di atas kepala saya. Solat jemaah saya masih lagi lompang, solat rawatib saya apatah lagi. Menangis? Al-quran? Adakah saya benar-benar ikhlas menerima Ramadhan sebagai madrasah yang Allah swt hadiahkan sebagai tanda cinta dan sayang-Nya kepada saya. Saya impikan lailatul qadr, akan tetapi tampaknya jalan saya tidak lurus ke arah itu. Saya impikan ketaqwaan yang dijanjikan oleh-Nya sebagai natijah ramadhan, akan tetapi bagaimana itu mungkin berlaku dengan kualitas diri sebegini. Anda bagaimana?

Saudara-saudaraku kita sama-sama bersedih dengan Ramadhan yang bakal meninggalkan kita. Akan tetapi hakikat kehidupan perlu kita akui, bahawa yang datang pastinya akan pergi. Untuk Ramadhan yang cuma tinggal seketika sahaja bakinya ini, marilah sama-sama kita mengkoreksi diri, mengislahkan apa yang mungkin kita terleka sebelum ini. Sama-sama kita doakan moga ini menjadi Ramdhan yang terbaik buat kita, sama-sama kita doakan moga-moga kita bersua lagi dengan Ramadhan yang akan datang, sama-sama kita doakan moga Ramadhan pergi dengan meninggalkan 1001 kebaikan buat diri kita. Masih belum terlambat saudara-saudaraku. Ya, Ramadhan tidak pergi buat selamanya. Dia pasti kembali. Namun, adakah saat itu kita masih mampu untuk menyambutnya sebagai salah satu anugerah daripada Ilahi.

Ya Allah, ampunilah kami.

Jun 30, 2010

Manusia oh Manusia

Penciptaan adam suatu ketika dahulu merupakan titik mula sejarah peradaban manusia. Pada mulanya penciptaan makhluk Allah yang dianugerahkan akal dan nafsu itu dipersoalkan oleh malaikat yang sudah dapat menggambarkan apa yang bakal terjadi andai manusia beraja di muka bumi. Akan tetapi rencana Allah merupakan hikmah yang tidak mungkin dapat disingkap oleh siapa-siapa jua. Bermula dengan penderhakaan di langit akhirnya mencetuskan peperangan di bumi. Bertebaranlah anak-anak adam di muka bumi berhadapan dengan segunung dendam daripada makhluk-makhluk penderhaka yang telah menjadi musuh yang nyata kepada golongan manusia sejak penciptaan adam lagi.

Namun manusia tidak dibiarkan oleh Allah terkontang-kanting dalam menghadapi musuh-musuh mereka itu. Manusia dibekalkan dengan petunjuk-petunjuk yang datang daripada Allah melalui wasilah para nabi. Selaku umat akhir zaman, kita sepatutnya berasa beruntung kerana memperoleh petunjuk yang lengkap dan tidak lapuk dek zaman iaitu al-quran. Di tambah pula dengan as-sunnah yang juga merupakan panduan kedua kita selepas al-quran.

Adalah suatu yang amat malang andaikata manusia cuba mengenepikan panduan-panduan agung itu dan cuma bertunjangkan akal semata-mata dalam menangani suatu-suatu masalah yang melanda. Mungkin sikap inilah yang menjadikan peradaban manusia kucar-kacir. Bilamana manusia mencari penyelesaian selain daripada Islam, maka mereka sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, bahkan merumitkan lagi keadaan.

Langkah memperkenalkan baby hatch untuk menyelesaikan permasalahan buang bayi di Malaysia bukanlah langkah pencegahan kepada permasalahan pokok kepada jenayah buang bayi tersebut. Kita tidak dapat menafikan bahawa jenayah buang bayi berlaku adalah disebabkan kes persetubuhan tanpa akad ataupun lebih dikenali sebagai zina. Sedih rasanya bilamana mendengar bahawa baby hatch telah mendapat bayi yang pertamanya semalam daripada sepasang kekasih yang masih belum berkahwin dan merahsiakan kelahiran bayi itu daripada keluarga mereka. Dapat dibyangkan selepas ini berbondong-bondong pasangan yang telah terlanjur melakukan zina datang membawa bayi mereka untuk diserahkan kepada baby hatch untuk dijaga. Mereka tidak lagi perlu risau andaikata mengandung selepas melakukan perbuatan terlarang itu. INI BUKAN PENCEGAHAN.

Zina tetap akan berleluasa. Ramai lagi bayi-bayi yang tidak dapat dinasabkan kepada ayahnya bakal lahir. Apabila bayi itu melangkah dewasa nanti, entah apa perasaannya bilamana mengetahui bahawa dia lahir dari persetubuhan terlarang. Banyak lagi permasalahan akan timbul. Dan saat ini musuh-musuh utama manusia itu akan terbahak-bahak ketawa dalam kemenangan.

Sebagai pengakhiran, marilah sama-sama kita bayangkan seorang pengembara melayu yang hidup pada zaman kesultanan melayu Melaka. Dia tinggal di utara Thailand. Bersusah payah dia meredah hutan belantara untuk menyampaikan segulung surat rahsia kepada istana Melaka. Surat tersebut mengandungi strategi untuk mengalahkan portugis yang pada waktu ini dalam diam-diam sedang merancang untuk menjahanamkan Melaka tanpa pengetahuan sesiapa pun. Hutan belantara diredahnya dengan sabar. Mendaki gunung, berhadapan dengan binatang buas, merasai kesejukan malam yang bias melumpuhkan tulang belulang dan pelbagai lagi halangan yang terpaksa ditempuhi. Bukan mudah, tersalah langkah, maut menantinya. Impiannya cuma satu. Menyedarkan kealpaan Melaka bahawa mereka bakal menghadapi ancaman portugis. Malangnya sampai sahaja di hadapan sultan melaka, suratnya itu tidak dilayan, malah di buang begitu sahaja. Tiada seorangpun rakyat mahupun golongan istana Melaka yang mahu membaca surat tersebut. Apa agaknya perasaannya ketika itu?

Saudara-saudaraku, perjuangan Rasulullah dalam membawa risalah Islam jauh lebih memeritkan daripada cabaran-cabaran yang dihadapi pengembara tadi. Jadi, adakah kita sanggup mengenepikan risalah Islam tersebut?

KEMBALILAH KEPADA ISLAM YANG SYUMUL

Jun 20, 2010

Seriuslah Untuk ISLAM

Semasa saya membelek-belek catatan-catatan lama alam persekolahan saya, saya bertemu kembali dengan sekeping nota lusuh yang saya simpan bertahun lamanya. Di sini saya kepingin untuk berkongsi tentang catatan tersebut yang pernah menjadi motivasi buat diri saya dan sahabat pada zaman persekolahan kami.

“Apakah Tuhan berbincang dengan ibu bapaku sewaktu mengutus aku lahir ke dunia?” Detik hati Saidina Ali dalam perjalanan pulang untuk menemui ibu dan bapanya. Sebelumnya beliau telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w dan ketika itu baginda mengajaknya untuk memeluk agama Islam. Kerana umurnya baru sepuluh tahun, Saidina Ali meminta izin Rasulullah s.a.w untuk pulang dulu berbincang dengan kedua ibu bapanya. Tetapi di pertengahan jalan, dia berfikir dan terus berfikir. Seriusnya bukan main.

Akhirnya dia tiba pada satu kesimpulan, beriman tanpa keizinan ibu dan bapanya. Alasannya mudah, Allah menjadikanya tanpa perlu berunding dengan kedua ibu bapanya. Jadi, apa perlunya berunding dengan ibu bapa untuk beriman dengan Allah.

Usamah bin Zaid dilantik menjadi pemimpin angkatan perang sewaktu berumur 18 tahun. Sultan Muhammad al-Fateh naik menggantikan ayahnya, Sultan Murad sewaktu berumur 14 tahun dan membuka Konstantin beberapa tahun berikutnya sekaligus membenarkan sabda nabi yang pernah di ungkap ratusan tahun sebelumnya. Ramai lagi para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah pun dibariskan ke medan perang dan diberi amanah yang cukup berat ketika berumur belasan tahun. Hingga sejarah memaparkan, ada antara mereka cuba menjungkitkan kaki mereka agar kelihatan tinggi, dewasa dan layak dipilih untuk berperang.

Inilah remaja salafussoleh, remaja yang sedari mudanya memikul tugas-tugas yang besar dan serius. Walaupun masih muda, tetapi fikiran mereka sudah ‘tua’ dan tindakan mereka sudah matang. Islamlah yang mendewasakan mereka. Islam adalah agama yang serius, untuk diyakini, dihayati, diamalkan dan untuk diperjuangkan.

KITA BAGAIMANA???

Adakah kita seorang yang serius untuk Islam? Apakah kita seorang yang inginkan kegemilangan masa depan Islam dan berusaha kearahnya? Adakah kita memikirkan nasib kita di akhirat kelak? Adakah kita sentiasa memikirkan nasib Islam dan umatnya? Adakah kita memikirkan soal Negara umat Islam dan kepimpinan dunia yang lintang pukang pada hari ini? Adakah kita seorang yang serius dalam melaksanakan amal Islami yang terkenal dengan keseriusannya? Jika YA, kita adalah pewaris generasi salafussoleh yang bakal menempa sejarah. Jika TIDAK... Ya, bicara ini bukan untuk kita. Maaf.

May 31, 2010

Produk Tarbiah Darul Quran: Teruskan Komitmen Dalam Perjuangan

Alhamdulillah 28 Mei yang lepas, saya sempat berprogram bersama-sama adik-adik yang lahir dari rahim tarbiah Darul Quran. Walaupun pada mulanya saya ingin menolak bilamana diminta oleh jawatankuasa program untuk menyampaikan pengisian kerana saya punya komitmen untuk program nuqaba’ di kampus saya pada sebelah petang. Lagi pula tajuk “Kewajipan Meneruskan Intima’ Dalam Gerakan” terasa cukup berat bagi saya. Tetapi memandangkan sudah lama saya tidak meng’attach’ kan diri dengan gerakan di Darul Quran ditambah dengan perasaan rindu saya kepada suasana tarbiah di Darul Quran, maka saya cuba juga memenuhi permintaan tersebut.

Berada di hadapan adik-adik yang terpisah 2 generasi dengan saya menyebabkan saya kembali mengimbau suasana-suasana silam. Mengenangkan saat-saat awal saya mengenal gerakan bersama adik beradik saya yang berjumlah 27 orang. Tidak mungkin saya lupakan sikap komited 17 orang adik beradik muslimat yang begitu bersungguh dalam melaksanakan setiap agenda. Tidak mungkin saya lupakan kerenah setiap adik beradik muslimin yang berjumlah 10 orang itu. Banyak pengalaman pahit dan manis kenangan bersama yang tidak mungkin saya lupakan.
Saya berasa begitu gembira dan beruntung bilamana melihat adik-adik generasi ke-10 ini tetap sanggup untuk meneruskan komitmen dalam program-program jamaie’ walaupun tempoh untuk mendaftar ke Pusat Asasi hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Di saat sahabat-sahabat lain sibuk membuat persedian untuk melangkah ke Pusat Asasi, mereka terpaksa mengorbankan masa, duit dan tenaga mereka demi kesinambungan tarbiah.

Untuk adik-adik dan seluruh generasi-generasi yang lahir dari madrasah tarbiah Darul Quran, saya tujukan risalah ini buat DIRI SAYA dan ANDA SEMUA.

1. Saya yakin kita semua sedar bahawa ISTIQOMAH ini merupakan perkara yang berat. Saya yakin anda semua menghafal surah Hud. Surah inilah yang telah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w beruban kerana di dalamnya terkandung ayat tentang istiqomah. “Tidak ada yang lebih berat dan susah yang diturunkan kepada Rasulullah melainkan ayat ini”, inilah respon Ibnu Abbas terhadap ayat 112 surah Hud ini. Untuk istiqamah terhadap perkara kecilpun sudah dianggap susah, maka apatah lagi untuk istiqamah di atas jalan dakwah. Walaupun istiqamah ini hanya boleh dinilai setelah ruh berpisah dari jasad, namun ia menuntut persedian dari kita selaku mereka yang pernah bergelar abna ul-harakah di bumi Darul Quran untuk sama-sama berusaha sedaya mungkin untuk terus kekal di atas jalan-NYA. [1]Maksiat dan dosa tidak kira besar atau kecil, perlu kita jauhkan. [2]Sirah perlu kita hayati, [3]al-Quran perlu kita tadabbur serta [4]golongan soleh perlu kita dampingi untuk menjamin bahawa kita akan sentiasa terus memberi komitmen yang jitu terhadap perjuangan Islam.

2. Banyak perkara yang mampu merosakkan istiqamah dan membolak-balikkan hati kita dalam perjuangan ini. Antaranya adalah [1]niat yang tidak ikhlas semata-mata kerana Allah, [2]sikap bongkak dan takabbur serta memandang rendah orang lain, [3]leka dan complacent serta [4]sikap malas dan suka bertangguh. Inilah virus-virus yang perlu kita elakkan.

3. Walau di mana sahaja kita berada kita pasti akan berdepan dengan situasi gerakan yang penuh dengan kelemahan. Jadi apa yang perlu kita lakukan? Gerakan merupakan kenderaan untuk menuju kepada matlamat kita yang suci dan agung. Mungkin kadang-kadang ia bermasalah, namun ia tetap merupakan kenderaan kita yang terbaik. Maka komitmen kita amat di perlukan untuk memastikan kenderaan ini tetap melaju. Tutuplah mana-mana kelompangan yang wujud agar kenderaan ini tidak terbabas atau rebah di tengah jalan. Kita perlu memiliki jiwa besar untuk memastikan gerakan terus bergerak maju. Biarlah kita yang menjadi solusi kepaada setiap permasalahan yang berlaku.

Sebagai penutup sama-sama kita hayati kata-kata keramat pakar tarbiah dari bumi Indonesia ini.
Seonggok kemanusiaan terkapar,
Siapa yang mengaku bertanggungjawab?
Bila semua pihak menghindar,
Biarlah saya yang menanggungnya,
Semua atau sebagiannya....
-Ustaz Rahmat Abdullah, PKS-