Aug 28, 2011

Manusia dan Ramadhan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang padanya tempat bergantung segala kehidupan. Tuhan yang tidak ada permulaan mahupun pengakhiran. 

Hari ini sudah pun masuk 28 Ramadhan. Minit-minit akhir Ramadhan ini sememangnya amat mengharukan. Apa tidaknya, bulan barakah yang sentiasa dirindui oleh umat Islam akan kedatangannya ini bakal meninggalkan kita. Pemergiannya nanti pasti akan menerbitkan rindu yang berpanjangan. 

Sejauh mana prestasi kita dalam tamrin Ramadhan pada kali ini hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal baik yang kita lakukan dan mengampunkan segala dosa-dosa kita. Bimbang juga andai segala amalan yang kita lakukan saban waktu langsung tidak dinilai oleh Allah lantaran penyakit-penyakit hati yang mungkin wujud dan dosa-dosa yang kita lakukan. 

Sepanjang bulan Ramadhan ini saya bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran rumah saya. Kerjanya mudah, saya hanya perlu mengisi minyak ke dalam tangki setiap kenderaan yang datang bergantung kepada permintaan yang mereka kehendaki. Jadi saya telah berpeluang berinteraksi dengan ramai orang yang mempunyai pelbagai sikap, peringkat umur dan latar belakang. Ada yang peramah, pendiam, kelam kabut, sabar, suka senyum, monyok dan banyak lagi. 

Di sini saya ingin berkongsi tentang tiga jenis manusia yang menyambut Ramadhan yang sempat saya kenal pasti semasa menjadi pekerja di stesen minyak tersebut.

Golongan yang menjadi penyembah Ramadhan

Mereka ini, sebelum Ramadhan merupakan orang yang suka melakukan perkara-perkara maksiat, lagha dan bertentangan dengan Islam. Apabila Ramadhan datang mereka berhenti melakukan perkara tersebut dan kembali melakukannya semula apabila di luar Ramadhan. 

Dialog dengan kaki lepak dan karaoke

Saya      : Abang, malam ni nak pi mana plak?

A           : Oh.. malam ni tak pi mana-mana aih. Penat dok kacau buboq lambuk petang tadi.

Saya      : La.. ya ka? Ingat kot nak pi mengajaq (enjoy) malam ni.

A           : Haish.. dak aih. Bulan posa ni cuti sat sebulan.

Saya      : Aik.. ada cuti jugak? Kesian kat anak murid (Kawan-kawan seangkatan).

A          : Tak pa.. Bulan posa ni tuhan suruh buat ibadat banyak-banyak. Mengajaq lain kali buleh.. Ala bukan lama pun. Cuti sebulan ja..

Golongan yang tidak peduli dengan Ramadhan.

Mereka merupakan manusia yang sama di dalam dan di luar Ramadhan. Mereka tidak merasakan apa-apa dengan kehadiran Ramadhan. Kalau sebelum Ramadhan mereka adalah ahli maksiat maka dalam bulan Ramadhan juga mereka dalah orang yang sama. Mereka ini kadang-kadang tidak sedarpun yang mereka sebenarnya sudah memasuki bulan Ramadhan.

Dialog dengan penagih dadah

Saya    : Mat, hang nak bubuh berapa ringgit?

B         : Buh dua ringgit.. Mai petik api aladin satu.
(Pemetik api aladin adalah alat yang biasa digunakan oleh penagih dadah untuk membakar sudu yang telah diisi dengan dadah. Stesen minyak tersebut juga ada menjual pemetik api)

Saya   : Ish, petik api lagi..kemarin beli dah satu, hari ni beli lagi..rajin hang dok bakaq sampah(Hisap dadah) bulan-bulan posa ni. Tak penat ka?

B        : Nak buat macam mana, sampah banyak sangat.

Saya   : Hang posa berapa hari dah mat bulan posa taun ni.

B        : Taun ni 13 hari dah... 

Saya   : Oh..aku baru posa 9 hari. Tapi aku rasa aku tak pernah tinggai posa lagi.

B        : Ops.. Kantoi..hehe.. Aku start posa awai. Hang awat start posa lambat sangat?

Golongan yang menghayati dan memanfaatkan Ramadhan sebagai madrasah tarbiah daripada Allah

Merekalah golongan yang berjaya. Mereka memanfaatkan Ramadhan untuk membuat perubahan. Mereka menggunakan Ramadhan sebagai enzim, stimulasi dan motivasi ibadah. Sebelum Ramadhan mereka merupakan abid yang bersungguh, dalam Ramadhan mereka menjadi abid yang lebih bersungguh dan tekun dan selepas Ramadhan merekalah abid yang istiqamah.

Sangat kecewa dan rugilah bagi:
Orang yang disebut nama Muhammad, tidak dibaca selawat atasnya
Orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi tidak dapat masuk syura
Orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosanya.

Inilah doa yang pernah dibacakan oleh Jibril dan diaminkan oleh nabi. Mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan dan keampunan daripada Allah