Mar 9, 2010

Diari Kehidupan : Wah Hebatnya Usrah


Malam ini saya mengalami sakit perut yang agak kuat dan sudah semestinya banyak perancangan saya tergendala. Nak dikatatakan saya saya tersalah makan semasa berprogram di Kuang, orang lain pun makan makanan yang sama. Tak ada pula yang mengadu sakit perut. Saya pun tak pasti apa puncanya. Mungkin tersalah makan atau terover sikit masa main bola petang tadi.

Tepat jam 11.15 malam saya mendapat sms dari naqib saya yang mengatakan usrah pada pukul 11.30 ditunda ke pukul 11.45. Secara jujurnya saya memang sudah terlupa akan usrah pada malam ini. Maafkan anak usrahmu ini wahai naqibku yang amat komited, andai anda turut membaca posting ini. Kesibukan di siang hari menyebabkan saya terlupa memasukkan usrah dalam jadual saya pada hari ini.

Sakit perut ditambah dengan perasaan malas yang membuak-buak menyebabkan saya telah membuat keputusan untuk ponteng usrah malam ini. Pantas sahaja saya membalas sms naqib saya tersebut untuk menguzurkan diri. Sakit perut dijadikan alasan. Walaupun pada awalnya naqib saya sedikit kurang percaya (mungkin kerana acap kali saya ponteng usrah agaknya...tapi rasanya baru sekali, sebab tertidur..Hehe, maaf sekali lagi buat naqibku), akhirnya beliau terpaksa akur dengan kesungguhan saya.

Sedang saya berbaring melayan kerenah perut saya yang semakin menjadi-jadi, tiba-tiba terlintas di fikiran saya kisah-kisah para sahabat yang uzur lagi tua. Mereka ini diberikan keizinan oleh Rasulullah untuk tidak turut serta ke medan jihad, namun keuzuran mereka tidak pernah menjadi alasan untuk berlepas diri dari memburu syahid. Teringat saya kisah Habib bin Dhamrah al-Laithi, seorang sahabat yang sangat tua lagi uzur, akan tetapi tetap mahu berhijrah ke Madinah biarpun beliau sebenarnya dikecualikan dari berhijrah dengan turunnya ayat 98-99 surah an-Nisa’. Akhirnya jiwanya yang tenang itu kembali menemui Allah di Tanaiem sebelum sempat sampai ke Madinah.

Saya semakin tidak keruan bila mengenang kisah Amru bin al-Jamuh seorang sahabat yang tua lagi tempang. Beliau meluru ke medan Uhud selepas mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya yang tercinta seolah-olah dia tidak akan kembali lagi. Beliau menghadap ke arah kiblat sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya dengan berdoa, “Ya Allah! Kurniakan kepadaku syahid, jangan engkau kembalikan aku kepada keluargaku dengan sia-sia”. Ketika perang sedang berkecamuk beliau menjerit dengan suara yang lantang, “Aku rindukan syurga, aku rindukan syurga…”. Akhirnya Allah mengurniakan kematian yang paling mulia itu kepadanya.

Kisah-kisah para sahabat yang pernah saya baca seperti kembali diputarkan di hadapan saya. Kisah Abu Ayyub al-Ansari, seorang sahabat yang berusia hampir 80 tahun turut memenuhi ruang fikiran saya. Kata-kata beliau yang mahsyur sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke Constantinople seolah-olah terngiang-ngiang dalam gegendang saya. “Sampaikan salam kepada semua tentera Islam yang menyertai peperangan ini dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub mewasiatkan kamu supaya terus mara ke bumi musuh sejauh-jauhnya, dan bawalah mayatku bersama-sama, dan tanam aku di sisi tembok Constantinople ..”. Biarpun jiwa hampir meninggalkan jasad, namun Abu Ayyub al-Ansari sempat mangagumkan dunia dengan semangat jihadnya yang tidak mengenal usia. Terbayang-bayang juga wajah Syeikh Ahmad Yassin yang berkerusi roda itu sedang berulang-alik ke masjid-masjid sekitar Palestin demi intifadhah.

Saya kembali tersedar dari lamunan. Jam menunjukkan pukul 11.55 malam. Saya sedar, apalah sangat sakit perut saya andai hendak dibandingkan dengan keuzuran pejuang-pejuang islam terdahulu. Lantas saya bingkas bangun. Saya tekad, walau terpaksa berjalan terbongkok-bongkok saya tetap akan menghadiri usrah. Akhirnya saya sempat untuk turut serta dalam usrah walaupun pada awalnya naqib saya seperti pelik melihat saya, seperti baru lepas melihat kura-kura memandu kereta sahaja lagaknya. Apa yang menariknya adalah bila saya bersama sahabat-sahabat lain berusrah, sakit perut saya seolah hilang begitu sahaja. Walaupun usrah mengambil masa hampir 2 jam, namun saya tidak sedikitpun merasa derita menanti, bahkan masa seakan terlalu singkat rasnya. Ajaib sungguh. Syukur saya panjatkan kepada Ilahi. Mungkin itulah hebatnya usrah, kerana di situ tersembunyi pelbagai hikmah.

Isnin : 8 Mac 2010 : 2.15 Pagi 

4 comments:

Anonymous said...

terkesan ana membaca post ni..
itulah hikmah dan rahmat majlis ilmu..yg padanya dipenuhi oleh ribuan malaikat yg turut mengaminkan doa2 ahli majlis..berkat doa sahabat, dan diaminkan oleh ribuan malaikat melimpahkan rahmat seisinya..
alhmdulillah...

hafizfillah said...

nta xsakit perut sbb ade ana kot...huhuhuh wa hehheeh=)

Azhar said...

Ya..betul tu.Pada majlis ilmu itu Allah janjikan pelbagai ganjaran...Indah sungguh kasih sayang Allah...:-)

Azhar said...

Buat Pidin...boleh jadi jugak. Biasanya bila bersama dengan orang soleh ni banyak keberkatannya...:-)

A'la kulli hal, setiap sesuatu itu datang dari Allah