May 26, 2010

Jangan Sekat Jiwa Muda

Sebut sahaja generasi muda kita pasti terbayang suatu kelompok manusia yang punya semangat yang berkobar-kobar. Bila berbicara soal anak muda kita pasti terbayangkan suatu golongan yang sentiasa diletakkan sebagai prime mover dan menjadi tunjang serta harapan dalam menjayakan sesuatu agenda. Mereka merupakan gambaran dan kayu ukur masa depan sesuatu ummah.

Dalam sesebuah organisasi misalnya, generasi muda biasanya diletakkan sebagai sayap utama untuk menggerakkan organisasi tersebut. Tidak kira besar atau kecil sesuatu organisasi, kelompok-kelompok yang selalu dilabelkan sebagai freshie ataupun junior ini sentiasa dilihat bersemangat untuk bergerak, tidak rela melihat organisasi terus menerus dilanda masalah, sentiasa berfikir dan bergerak untuk membawa kebaikan kepada organisasi. Mereka sentiasa dilihat berusaha untuk terus bergerak kehadapan serta terus maju dan melaju.

Wah, kelompok mereka ini seolah dilihat begitu hebat dan sempurna. Benarkah begitu? Sudah pastinya tidak. Dalam bergerak kadang-kadang mereka tergelincir, kadang-kadang mereka rebah, kadang-kadang mereka menangis akibat terseliuh dan adakalanya mereka mengambil masa yang lama untuk mengubati diri untuk bangun dan bergerak semula.

Adalah suatu yang amat mengecewakan bilamana generasi tua atau generasi awal melihat semangat mereka ini dari aspek yang negatif. Adalah suatu yang amat malang andaikata generasi muda ini dilabelkan sebagai bersemangat semata-mata tanpa punya matlamat yang jelas. Adalah suatu kepelikan dan kecelakaan andai generasi muda ini dipertikaikan komitmen mereka. Kepada generasi awal, berhati-hatilah dalam memberi label-label tertentu kepada mereka. Lihatlah realiti semasa, apa yang berlaku disekeliling anda. Bagaimana generasi muda begitu berperanan dalam mencorakkan sesuatu agenda. Yakinlah, anak muda sekarang, dari kalangan mahasiswa khususnya, bukan lagi ortodoks yang menjadi pak turut semata. Mereka punya visi yang jelas. Zaman doktrin mendoktrin sudah tamat. Anak muda punya prinsip, idealisme, matalamat dan pegangan yang jelas. Budaya “yes boss” membuta tuli sudah lama mereka kuburkan.

Adakah ini perkembangan yang tidak sihat? Saya katakan TIDAK sama sekali. Adakah ini akan menyebabkan generasi muda membawa agenda sendiri serta meninggalkan kepatuhan kepada yang sepatutnya? Saya katakan itu TIDAK benar. Inilah proses kematangan. Inilah perkembangan sihat yang berlaku dalam sesebuah organisasi. Usah disekat anak muda. Usah dirantai jiwa mereka. Usah diruntuh semangat mereka. Sedarlah yang mereka inilah yang banyak mencorakkan organisasi. Mereka inilah yang bakal meneruskan legasi dan pergerakan sesebuah organisasi. Mereka dalam proses belajar dan membina diri. Saya yakin dan pasti bahawa generasi muda sedar bahawa mereka punya banyak kelemahan dan kekurangan. Apa yang mereka perlukan adalah DOKONGAN, SOKONGAN dan BIMBINGAN.

“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap (kesejateraan)nya. Oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar”
an-nisa’ : 9

2 comments:

Anonymous said...

Apa yang azhar nak sampaikan sebenarnya..??? mcm ada maksud tersirat je..

Mohd Azhar Zakaria said...

saya maksudkan apa yang saya tulis