May 31, 2010

Produk Tarbiah Darul Quran: Teruskan Komitmen Dalam Perjuangan

Alhamdulillah 28 Mei yang lepas, saya sempat berprogram bersama-sama adik-adik yang lahir dari rahim tarbiah Darul Quran. Walaupun pada mulanya saya ingin menolak bilamana diminta oleh jawatankuasa program untuk menyampaikan pengisian kerana saya punya komitmen untuk program nuqaba’ di kampus saya pada sebelah petang. Lagi pula tajuk “Kewajipan Meneruskan Intima’ Dalam Gerakan” terasa cukup berat bagi saya. Tetapi memandangkan sudah lama saya tidak meng’attach’ kan diri dengan gerakan di Darul Quran ditambah dengan perasaan rindu saya kepada suasana tarbiah di Darul Quran, maka saya cuba juga memenuhi permintaan tersebut.

Berada di hadapan adik-adik yang terpisah 2 generasi dengan saya menyebabkan saya kembali mengimbau suasana-suasana silam. Mengenangkan saat-saat awal saya mengenal gerakan bersama adik beradik saya yang berjumlah 27 orang. Tidak mungkin saya lupakan sikap komited 17 orang adik beradik muslimat yang begitu bersungguh dalam melaksanakan setiap agenda. Tidak mungkin saya lupakan kerenah setiap adik beradik muslimin yang berjumlah 10 orang itu. Banyak pengalaman pahit dan manis kenangan bersama yang tidak mungkin saya lupakan.
Saya berasa begitu gembira dan beruntung bilamana melihat adik-adik generasi ke-10 ini tetap sanggup untuk meneruskan komitmen dalam program-program jamaie’ walaupun tempoh untuk mendaftar ke Pusat Asasi hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Di saat sahabat-sahabat lain sibuk membuat persedian untuk melangkah ke Pusat Asasi, mereka terpaksa mengorbankan masa, duit dan tenaga mereka demi kesinambungan tarbiah.

Untuk adik-adik dan seluruh generasi-generasi yang lahir dari madrasah tarbiah Darul Quran, saya tujukan risalah ini buat DIRI SAYA dan ANDA SEMUA.

1. Saya yakin kita semua sedar bahawa ISTIQOMAH ini merupakan perkara yang berat. Saya yakin anda semua menghafal surah Hud. Surah inilah yang telah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w beruban kerana di dalamnya terkandung ayat tentang istiqomah. “Tidak ada yang lebih berat dan susah yang diturunkan kepada Rasulullah melainkan ayat ini”, inilah respon Ibnu Abbas terhadap ayat 112 surah Hud ini. Untuk istiqamah terhadap perkara kecilpun sudah dianggap susah, maka apatah lagi untuk istiqamah di atas jalan dakwah. Walaupun istiqamah ini hanya boleh dinilai setelah ruh berpisah dari jasad, namun ia menuntut persedian dari kita selaku mereka yang pernah bergelar abna ul-harakah di bumi Darul Quran untuk sama-sama berusaha sedaya mungkin untuk terus kekal di atas jalan-NYA. [1]Maksiat dan dosa tidak kira besar atau kecil, perlu kita jauhkan. [2]Sirah perlu kita hayati, [3]al-Quran perlu kita tadabbur serta [4]golongan soleh perlu kita dampingi untuk menjamin bahawa kita akan sentiasa terus memberi komitmen yang jitu terhadap perjuangan Islam.

2. Banyak perkara yang mampu merosakkan istiqamah dan membolak-balikkan hati kita dalam perjuangan ini. Antaranya adalah [1]niat yang tidak ikhlas semata-mata kerana Allah, [2]sikap bongkak dan takabbur serta memandang rendah orang lain, [3]leka dan complacent serta [4]sikap malas dan suka bertangguh. Inilah virus-virus yang perlu kita elakkan.

3. Walau di mana sahaja kita berada kita pasti akan berdepan dengan situasi gerakan yang penuh dengan kelemahan. Jadi apa yang perlu kita lakukan? Gerakan merupakan kenderaan untuk menuju kepada matlamat kita yang suci dan agung. Mungkin kadang-kadang ia bermasalah, namun ia tetap merupakan kenderaan kita yang terbaik. Maka komitmen kita amat di perlukan untuk memastikan kenderaan ini tetap melaju. Tutuplah mana-mana kelompangan yang wujud agar kenderaan ini tidak terbabas atau rebah di tengah jalan. Kita perlu memiliki jiwa besar untuk memastikan gerakan terus bergerak maju. Biarlah kita yang menjadi solusi kepaada setiap permasalahan yang berlaku.

Sebagai penutup sama-sama kita hayati kata-kata keramat pakar tarbiah dari bumi Indonesia ini.
Seonggok kemanusiaan terkapar,
Siapa yang mengaku bertanggungjawab?
Bila semua pihak menghindar,
Biarlah saya yang menanggungnya,
Semua atau sebagiannya....
-Ustaz Rahmat Abdullah, PKS-

May 26, 2010

Jangan Sekat Jiwa Muda

Sebut sahaja generasi muda kita pasti terbayang suatu kelompok manusia yang punya semangat yang berkobar-kobar. Bila berbicara soal anak muda kita pasti terbayangkan suatu golongan yang sentiasa diletakkan sebagai prime mover dan menjadi tunjang serta harapan dalam menjayakan sesuatu agenda. Mereka merupakan gambaran dan kayu ukur masa depan sesuatu ummah.

Dalam sesebuah organisasi misalnya, generasi muda biasanya diletakkan sebagai sayap utama untuk menggerakkan organisasi tersebut. Tidak kira besar atau kecil sesuatu organisasi, kelompok-kelompok yang selalu dilabelkan sebagai freshie ataupun junior ini sentiasa dilihat bersemangat untuk bergerak, tidak rela melihat organisasi terus menerus dilanda masalah, sentiasa berfikir dan bergerak untuk membawa kebaikan kepada organisasi. Mereka sentiasa dilihat berusaha untuk terus bergerak kehadapan serta terus maju dan melaju.

Wah, kelompok mereka ini seolah dilihat begitu hebat dan sempurna. Benarkah begitu? Sudah pastinya tidak. Dalam bergerak kadang-kadang mereka tergelincir, kadang-kadang mereka rebah, kadang-kadang mereka menangis akibat terseliuh dan adakalanya mereka mengambil masa yang lama untuk mengubati diri untuk bangun dan bergerak semula.

Adalah suatu yang amat mengecewakan bilamana generasi tua atau generasi awal melihat semangat mereka ini dari aspek yang negatif. Adalah suatu yang amat malang andaikata generasi muda ini dilabelkan sebagai bersemangat semata-mata tanpa punya matlamat yang jelas. Adalah suatu kepelikan dan kecelakaan andai generasi muda ini dipertikaikan komitmen mereka. Kepada generasi awal, berhati-hatilah dalam memberi label-label tertentu kepada mereka. Lihatlah realiti semasa, apa yang berlaku disekeliling anda. Bagaimana generasi muda begitu berperanan dalam mencorakkan sesuatu agenda. Yakinlah, anak muda sekarang, dari kalangan mahasiswa khususnya, bukan lagi ortodoks yang menjadi pak turut semata. Mereka punya visi yang jelas. Zaman doktrin mendoktrin sudah tamat. Anak muda punya prinsip, idealisme, matalamat dan pegangan yang jelas. Budaya “yes boss” membuta tuli sudah lama mereka kuburkan.

Adakah ini perkembangan yang tidak sihat? Saya katakan TIDAK sama sekali. Adakah ini akan menyebabkan generasi muda membawa agenda sendiri serta meninggalkan kepatuhan kepada yang sepatutnya? Saya katakan itu TIDAK benar. Inilah proses kematangan. Inilah perkembangan sihat yang berlaku dalam sesebuah organisasi. Usah disekat anak muda. Usah dirantai jiwa mereka. Usah diruntuh semangat mereka. Sedarlah yang mereka inilah yang banyak mencorakkan organisasi. Mereka inilah yang bakal meneruskan legasi dan pergerakan sesebuah organisasi. Mereka dalam proses belajar dan membina diri. Saya yakin dan pasti bahawa generasi muda sedar bahawa mereka punya banyak kelemahan dan kekurangan. Apa yang mereka perlukan adalah DOKONGAN, SOKONGAN dan BIMBINGAN.

“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap (kesejateraan)nya. Oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar”
an-nisa’ : 9

Golongan Agamawan : Gunakan Amanah untuk Kebaikan

Sudah lama rasanya saya tidak menulis di laman maya ini. Alhamdulillah hari ini tergerak hati untuk menulis. Melihatkan piala dunia yang tinggal tidak lebih dari sebulan lagi untuk dilangsungkan bermakna tidak lebih dari sebulan juga pesta judi besar-besaran yang melibatkan bola sepak akan di laksanakan termasuklah di bumi Malaysia ini.

Di sini saya tidak berminat untuk mengulas banyak tentang kenyataan menteri-menteri yang jelas sudah dibutakan mata mereka dengan kebendaan itu. Saya doakan mereka diberi hidayah oleh Allah s.w.t untuk meruntuhkan keegoaan mereka yang membukit itu dan mengakui kekhilafan sekaligus menarik semula lesen yang telah di berikan.

Apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah sikap membisu umpama ular sawa kekenyangan golongan-golongan agamawan yang berada dalam jabatan-jabatan kerajaan dan mufti-mufti terhadap isu ini. Sedarlah bahawa salah satu soalan yang akan disoal di hadapan Allah nanti adalah tentang bagaimana kita memanfaatkan ilmu yang dimiliki. Ini bukan isu politik semata-mata, tetapi isu maruah Islam. Bagaimana mungkin negara yang saban tahun menjadi kunjungan para ulama, menjadi tempat dilaksanakan seminar-seminar islami, tempat yang majoritinya umat Islam sanggup menggadaikan maruah demi keuntungan yang tidak seberapa.
Tentangan terhadap judi bola ini bukan sahaja datang daripada orang-orang Islam sahaja, bahkan juga daripada orang bukan Islam. Di kedah Pemuda Gerakakan sudah menyatakan kesediaan untuk sama-sama memberi komitmen dalam membantah isu ini.Kalau sesetengah pendokong-pendokong umno pun berani menyatakan secara terbuka rasa tidak setuju mereka terhadap isu ini, mengapa tidak mufti-mufti dan jabatan-jabatan agama islam menyatakan hal yang sama secara lebih lantang dengan menggunakan kapasiti dan posisi masing-masing. Tun Abdullah sudah bersuara, mufti-mufti bila lagi?

Benarlah kata Mustafa Mahsyur tentang penyelewengan-penyelewengan yang berlaku dalam jalan dakwah. Bilamana jalan dakwah itu hanya difokus kepada aspek-aspek juz’i maka akan berlakulah sikap play safe dan takut untuk mengatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.

Dalam PERJUANGAN adanya JIHAD, dalam JIHAD adanya PENGORBANAN