Feb 28, 2010

UMNO Terus Ketinggalan

26 Febuari yang lepas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mewakili pergerakan pemuda umno menyokong penuh supaya cadangan pelaksanaan sistem keahlian terbuka Umno dipercepatkan. Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas perasmian Karnival Belia dan Sukan Negeri Kelantan anjuran Pemuda UMNO Kelantan bertempat di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan. Saya tidak berminat untuk mengulas panjang bagaimana pemuda Umno ini boleh berprogram dalam universiti tersebut yang saya sendiri yakin dan pasti Menteri Besar Kelantan sendiripun tidak mungkin dibenarkan untuk menjejakkan kakinya ke situ. Perkara ini sekaligus melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti( AUKU) yang mereka sendiri sanjungi dan sayangi itu sehinggakan desakan untuk memansuhkannya sering dipandang dengan pessimist view oleh mereka. Cukuplah saya nyatakan di sini bahawa penyalahgunaan kuasa dan mandat rakyat oleh Umno dan Barisan Nasional ini sudah menjadi darah daging dalam hidup mereka sehinggakan mereka seolah tiada lagi rasa malu dengan tindakan dan penyelewengan yang mereka lakukan.

Maaf kerana lari sedikit dari tajuk. Apa yang hendak saya fokuskan dalam posting kali ini adalah krisis ketandusan idea dalam Umno dan kepimpinannya bagi menguasai suasana politik di Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh bahawa salah satu faktor pendesak kepada lahirnya idea meminda perlembagaan Umno bagi menerima individu, parti politik atau NGO yang menyokong parti itu menjadi ahlinya secara terus adalah apabila PAS dengan langkah berani dan bertenaganya membawa perubahan dalam parti dengan menaiktarafkan Kelab Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Umno yang sebelum ini hanya mampu mencari publisiti murahan di kalangan rakyat dengan memperkudakan media dan menjadikannya sebagai salah satu lidah rasmi parti pastinya berasa terdesak apabila melihat keahlian Dewan Himpunan Penyokong Pas ini mencecah puluhan ribu. Ketika mana Umno masih lagi terkial-kial hendak membincangkan isu keahlian terbuka ini, Dewan Himpunan Penyokong Pas sudahpun mula mengorak langkah membentuk jawatankuasanya dengan dimulakan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak (DHPPP) pada 15 Febuari yang lalu. Idea yang baru hendak dibincangkan oleh Pemuda Umno dalam mesyuarat exconya pada minggu hadapan ini sebenarnya telahpun didahului PAS melalui draft penaiktarafan Kelab Penyokong Pas dalam retreat meeting PAS Pusat pada Jun 2009 di Alor Setar.

Sebenarnya sudah banyak siri-siri peniruan idea yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional terhadap apa yang dilaksanakan oleh PAS. Antaranya Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak melancarkan laman sosialnya di facebook bilamana melihat laman sosial Tuan Guru Haji Hadi mendapat sambutan yang cukup hangat daripada pengunjung facebook. Jika sudara-saudara ingat suatu ketika dahulu kerajaan pernah mengadakan Sukan Wanita kali Kedua. Yang peliknya saya sendiri tidak tahu bila masalah Sukan Wanita kali Pertama dilaksanakan. Dinamakan Sukan Wanita kali Kedua untuk menggambarkan kononnya merekalah yang mempelopori idea sukan wanita ini, sedangkan sukan wanita kali pertama tidak pernah dianjurkan. Semua ini dibuat selepas nisa’ game yang dianjurkan PAS mendapat sambutan meriah. Banyak lagi peniruan idea PAS oleh Umno dan Barisan Nasional yang tidak mampu untuk saya coretkan. Saudara fikirlah sendiri...

Feb 20, 2010

Alahai Khutbah Jumaat Masjid UIAM

Kecewa..Ya saya terus kecewa dengan khutbah jumaat Masjid UIAM yang terus berjaya membuat sidang jemaah tertidur kebosanan. Hari ini khutbah jumaat agak menarik dari sudut topik yang ingin disampaikan, tetapi saya tetap berasa kecewa dengan isi khutbah dan khatib yang menyampaikan khutbah itu sendiri walaupun dia merupakan pemegang ijazah kedoktoran dan telah mejawat jawatan yang agak penting dalam Kuliyyah of Islamic Revealed Knowledge ataupun ilmu wahyu. Terasa seolah dangkalnya pemikiran si khatib ini dan sepertinya tidak selayaknya dengan pencapaian akademik yang dimilikinnya (maaf kan saya).

Khutbah pada hari ini menyentuh tentang umat islam yang semakin lemah dan terkebelakang lantaran mereka tidak mampu bersatu (disunity). Menariknya bila si khatib mengungkapkan bahawa
"One of the internal factor of disunity in Malaysia is all muslim still arguing each other on the smallest issue like politics and how should the country be"
Akal saya menolak kuat bilamana saya cuba memikirkan bahawa soal politik, kepimpinan dan dasar-dasar negara ini adalah soal remeh temeh. Entahlah, mungkin si khatib punya hujah yang tersendiri, tetapi masakan saya dapat menerima bahawa perkara ini adalah persoalan yang picisan bilamana mendengar bahawa para sahabat muktabar meninggalkan jenazah Rasulullah demi menetukan soal imamah dan qiyadah.

Justeru, menentukan persoalan kepimpinan yang bakal membawa halatuju negara ini bukanlah perkara main-main, andaikata kita mengambil ibrah dari sirah nabawiyyah dan kisah para sahabat. Ia perlu difikirkan dan diberi penekanan secara serius kerana ia berkaitan dengan survival ummah.

Saya juga agak kurang bersetuju bilamana si khatib menyatakan bahawa soal perbezaan pendapat dalam politik merupakan punca perpecahan dan kelemahan umat Islam di negara ini. Soalnya, adakah kita perlu menjadi pak turut dan bersetuju sahaja dengan dasar-dasar yang jelas mengetepikan dan merendahkan martabat Islam. Kembalilah kepada realiti, bahawa Islam menjadi lemah dalam negara ini adalah disebabkan dasar nasionalisme, hedonisme dan sekularisme dalam negara yang jelas mengambil Islam hanya dalam aspek-aspek kecil sahaja. Usahlah mengemukakan hujah yang seolah-olah meletakkkan golongan penentang dasar ini di kandang salah dan pelaku jenayah perpecahan, sedangkan dasar itu sendiri pincang dan lari dari landasan kebenaran. Yakinlah yang doktrinisasi ini tidak akan kemana.

Ingatlah bahawa perbezaan pendapat itu bukanlah perpecahan. Masakan kita mampu melahirkan suatu masyarakat yang punya keselarian pandangan dan pemikiran. Soal perbezaan pendapat ini merupakan lumrah dan rahmat kepada kita semua. Pengajaran kisah Luqman al-Hakim bersama anaknya sebagai bukti bahawa manusia ini punya variasi yang tersendiri. Yang penting umat Islam hanya akan kembali bersatu bila kita semua sanggup meniggalkan isme-isme jahiliyyah dan kembali kepada kesyumulan Islam dan kemurniaan aqidah yang sahih.

Feb 16, 2010

MAHASISWA UIAM: MULAKAN PERUBAHAN

Dunia kampus pada hari ini rata-rata sedang melalui satu zaman yang mana mahasiswa-mahasiswanya semakin asyik dengan dunia masing-masing. Dua kelompok mahasiswa yang menjadi golongan majoriti di universiti adalah mahasiswa yang tenggelam dengan keasyikan mengejar segulung sijil dan mahsiswa yang terkapai-kapai dalam arus hedonisme. Hakikat yang cukup menyesakkan ini telah menyaksikan mahasiswa bersikap tidak ambil peduli terhadap isu-isu semasa baik yang berlaku dalam kampus, dalam negara mahupun di luar sempadan geografi negara. Jadi apa masalahnya bila berlaku keadaan sebegini?

“Jika kamu ingin melihat masa depan sesuatu bangsa maka lihatlah pemuda-pemudanya"

Kata-kata ini cukup menggambarkan kepada kita betapa peri pentingnya mahasiswa yang kebanyakannya merupakan pemuda dan pemudi yang dianggap sebagai golongan minda kelas pertama ini dapat menjadi mahasiswa yang selayaknya dengan title mereka itu. Hal ini bukan sahaja demi memastikan masa depan bangsa dan negara kita kembali berada di paksi kecemerlangan tetapi juga demi mengembalikan kei’zzahan Islam itu sendiri.

Justeru, selaku mahsiswa UIAM, saya punya impian untuk melihat gerakan mahasiswa di kampus UIAM memainkan peranan sebagai agen perubah dan pembentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja mampu mengulangi zaman kegemilangan mahasiswa lebih dua dekad lalu, bahkan mampu menjadi pelopor generasi emas mahasiswa yang bakal dikenang sepanjang zaman.
Atas dasar ini, gerakan mahasiswa UIAM perlu keluar dari kepompong tradisi, membuat perubahan yang luar biasa supaya mereka tidak berterusan berada di takuk lama. Gerakan mahasiswa yang kini dilihat lesu, perlu membuang segala aspek-aspek negatif yang sudah sekian lama membarah dan melekat kuat dalam diri mereka. Aspek-aspek profesionalisme perlu dititik beratkan agar gerakan ini tidak terus dilihat kekampungan atau gerakan budak-budak. Jangan risau atau ragu untuk melontarkan kritikan biarpun ia pahit untuk diluah mahupun ditelan. Usah takut untuk membuat perubahan dan membawa gagasan-gagasan besar, biarpun terpaksa mengambil risiko melawan arus.

“Kalau takut dilanda ombak, usah berumah di tepi pantai. Kalau takut kepada risiko usah bicara soal perjuangan.”



Kita terpaksa akui bahawa sejak akhir-akhir ini kualiti yang ada pada pendokong gerakan cukup mengecewakan. Justeru, soal pembinaan kualiti ahli gerakan mahasiswa haruslah menjadi antara agenda utama yang perlu ditekankan sama ada dari sudut teori mahupun praktikal. Pendokong-pendokong gerakan mahasiswa, di UIAM khususnya dan di seluruh Malaysia amnya perlu mempersiapkan diri dari segala sudut. Semangat kita perlu kental, ilmu dan intelektual kita perlu tinggi, jiwa kita perlu tabah, jasmani kita perlu kuat dan ikatan antara kita perlu utuh. Hal ini kerana, kita bukan lagi pemimpin pelajar di bangku persekolahan tetapi kita merupakan generasi pewaris teraju kepimpinan negara.



Sudah sekian lama gerakan mahasiswa berperanan di tengah-tengah masyarakat. Malah sudah sekian ramai juga pimpinan serta pengikutnya yang datang dan pergi dengan cita-cita masing-masing. Maka sudah tiba masanya untuk gerakan mahasiswa di Malaysia yang menjadi wadah kepada anak muda bergerak di universiti, membuat satu anjakan paradigma untuk membawa satu gelombang perubahan supaya kehadirannya akan lebih dirasai, bukan sahaja dirasai oleh masyarakat universiti tetapi juga oleh rakyat Malaysia. Kita impikan gerakan mahasiswa yang bukan sahaja mampu mengubah suasana universiti, tetapi mampu mencorak masa depan negara. Kalau inilah cita-citanya, maka reformasi gerakan mahasiswa di UIAM adalah langkah pertama.

Feb 15, 2010

KEMULIAN AKHLAK: DI MANAKAH DIRIKU

Firman Allah:

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang yang bodoh”
Al-a’raff : 199
Apa yang dapat saya fahami dari ayat di atas adalah, berilah kemaafan kepada orang yang menzalimimu, berilah kemaafan kepada orang yang membencimu, sambungkanlah tali silaturrahim kepada orang yang memutuskan tali silaturrahim denganmu, berpalinglah daripada orang yang memperbodoh-bodohkanmu serta berbaik-baiklah kepada orang yang berbuat jahat kepadamu.

Kemulian akhlak adalah salah satu daripada agenda nabawiyyah yang cukup penting. Lantaran itu Rasulullah s.a.w dilahirkan penuh dengan kemuliaan-kemulian akhlak yang dipertontonkan dalam lembaran sirah. Baginda juga ada mengungkapkan bahawa:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak”

Kemuliaan akhlak yang merupakan sikap para penghuni syurga adalah perkataan yang lembut dan diikuti oleh perilaku yang yang terpuji, membalas kebaikan orang lain dengan balasan kebaikan yang lebih baik serta memperoleh kemulian dengan menjauhi segala hal yang diharamkan.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ada menukilkan dalam kitabnya Raudhotut-tholibin wa ‘Umdatus-salikin:

“Pemilik akhlak mulia, ialah orang yang tidak mengadukanmu jika engkau meminta kepadanya serta tidak berkira-kira, tidak bersifat kikir dan tidak bermegah-megah diri, saling melupakan kekurangan-kekurangan sesama saudara, bersegera dalam memenuhi keperluan-keperluan mereka, juga melemparkan keduniaan kepada orang yang memang memerlukannya.”

Aduh, mampukah saya kecapi nikmat berakhlak mulia ini. Seakan hampir tidak mampu saya cium baunya apatah lagi mahu digapai dan dipeluk erat.


“Sesungguhnya aku dambakan syurgaMU ya Allah, namun terlalu banyak kelompangan dalam diriku. Solatku masih kontang dengan kusyu’ dan khudu’, zikirku masih tak seberapa, qiamku entah kemana, nafsu keduniaanku masih beraja, masaku hilang begitu sahaja. Di manakah diriku di sisiMU ya ALLAH.”